Monday, October 5, 2009

Hasrat Bajet Rakyat


Pada 23 Oktober ini, kerajaan bakal membentangkan bajet 2010 di Parlimen. Antara bidang tumpuan Bajet 2010 adalah meliputi pelaburan swasta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), teknologi maklumat (ICT), industri halal, sektor kewangan, pembangunan infrastruktur luar bandar, sektor perkilangan, pembangunan sumber manusia, teknologi hijau, sektor pertanian, jenayah dan keselamatan awam dan pengangkutan awam.

Kerajaan menjelaskan bajet pada kali ini akan menjurus kepada usaha susulan menjamin kesejahteraan. Walaupun berhemat, Bajet 2010 dijangka mengutamakan rakyat dan berorientasikan pencapaian sejajar gagasan ‘1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Seperti dijelaskan Perdana Menteri, ia akan memperincikan pelaksanaan berkesan mekanisme pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang layak. Pada masa sama tumpuan akan diberi kepada usaha memperkemas kecekapan supaya perbelanjaan operasi kerajaan dikurangkan. Kerajaan turut dijangka memperhebatkan pelbagai langkah dalam melancarkan perjalanan ekonomi dalam negara yang terjejas sekitar krisis pada tahun ini. Bagaimana dan apakah fungsi kerajaan dalam usaha mencapai pembangunan yang menyeluruh melibatkan aspek metarial dan spiritual dalam mencapai Wawasan 2020 pada bajet kali ini?

Bagi kalangan rakyat biasa, jangkaan mereka adalah cadangan-cadangan bajet akan diperkenalkan dengan tujuan menambah pendapatan yang boleh dibelanjakan bagi rakyat. Namun, persoalannya, apakah bajet pada kali ini menepati kehendak rakyat dan apakah peranan kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat faedah yang setara? apakah jangkaan rakyat dalam menikmati ganjaran daripada pihak kerajaan terbayar pada bajet 2010 kali ini? juga, bagaimana kita melihat suatu pembaharuan yang bakal dibentangkan pada bajet kali ini?

Kerajaan juga turut mengumumkan penilaian dan penimbangan pendapat daripada masyarakat berasaskan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Langkah ini mendidik masyarakat untuk bertanggungjawab sepenuhnya sebagai penyumbang pembangunan negara tanpa memikirkan keuntungan dan faedah untuk diri sendiri semata-mata. Apakah langkah ini merupakan inisiatif terbaik dalam memastikan semua pihak mendapat keuntungan? bagaimana kita melihat peranan dan fungsi rakyat dalam memastikan bajet 2010 mencapai sasaran? dan sejauh mana langkah ini dapat memastikan segala hasrat rakyat diutamakan? kongsikan suara dan hasrat anda di U-Wartawan, anda juga wartawan.