Monday, October 10, 2011

Pendidikan dan Bajet 2012

Dalam pembentangan Bajet 2012 yang baru lalu, kerajaan telah menyediakan beberapa peruntukan untuk sektor pendidikan, salah satu sektor yang mendapat perhatian dan peruntukan tinggi semasa belanjawan. Pendidikan dianggap penting dan kritikal memandangkan ia menjadi teras kepada pembangunan sebuah negara, yakni, kegagalan memberikan pendidikan dan ilmu bakal menyaksikan kumpulan rakyat yang tercicir dan sudah tentu akan membawa natijah kepada pembangunan negara.
Insentif seperti baucar buku, persekolahan percuma dan penyusunan semula terma gaji guru dilihat satu usaha untuk memperkemaskan skim perkhidmatan dan pada masa meletakkan pendidikan pada tahap terbaik terutamanya melalui peruntukan khas membaiki bangunan dan premis sekolah yang daif dan tidak mendapat keperluan mencukupi untuk dipanggil sebuah sekolah yang baik.
Masalah sekolah daif dan buruk bukanlah suatu yang baru kerana fenomena sekolah seperti kandang kambing atau ayam sudah lama membelenggu sejak puluhan tahun terutama di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman. Sekolah-sekolah asrama luar bandar masih kekurangan bekalan air dan elektrik juga merupakan berita yang amat mengganggu, yang menimbulkan persoalan, apakah dengan suasana yang tidak kondusif ini akan menjadi landasan terbaik untuk melahirkan anak-anak berpendidikan, seterusnya menyediakan mereka untuk menapak lebih jauh dalam pendidikan dan akhirnya memasuki pasaran pekerjaan.
Selain itu, perlu diperkatakan perihal kemiskinan yang masih membelenggu kehidupan dan usaha membawa anak-anak menikmati pendidikan yang baik. Tanpa pendidikan yang baik, bagaimana mereka dapat mengubah nasib dan kehidupan? Namun, gejala keciciran sekolah merupakan masalah yang masih berkitar dalam sistem pendidikan dan ia perlu dilihat secara serius dan diatasi. Anak-anak muda ini tidak boleh dinafikan hak mereka mendapat pendidikan yang baik hanya disebabkan kemiskinan dan tidak ada bantuan yang diberikan untuk mereka mendapat suatu yang menjadi hak.
Dalam negara sudah melangkah jauh dalam pelbagai bidang, termasuk sampai ke angkasa lepas, suatu yang amat asas dan hak dalam kehidupan dan kemasyarakatan sepatutnya mendapat pemerhatian berterusan dan perkara yang mungkin dianggap kecil dan remeh kerana membabitkan kelompok kecil tidak boleh dilepas pandang, sama ada sengaja atau tidak.
Jelasnya, pendidikan sentiasa menjadi bahagian penting dalam pembentangan belanjawan negara, tetapi sejauhmanakah ia dapat dilaksanakan dan menjadi penambahbaikan? Ini perkara yang harus difikirkan bersama supaya suatu yang indah di atas kertas benar-benar memberi makna dan manfaat kepada rakyat Malaysia.