Monday, September 27, 2010

Euphoria iPhone4


Bagi golongan yang taksub terhadap gajet dan perisian ICT, pastinya pelancaran iPhone4 mencetuskan fenomena baru yang memerlukan mereka menjadi peserta kepada perkembangan terbaru ini, dengan fahaman dan gambaran, memiliki gajet bersama perisian terkini menjadi satu simbol status berada dalam kelompok depan dalam masyarakat moden hari ini.

Fenomena ini menunjukkan bagaimana teknologi begitu memain peranan dalam kehidupan dan memiliki dan menguasainya merupakan suatu kebanggaan dan ia mempunyai suatu daya tarikan yang tidak boleh ditolak sama-sekali.

Namun, melihat kepada gaya dan trend pemilikan, kita boleh memahami bahawa masa depan bakal memjadikan hidup dan kehidupan kita lebih berpaut kepada gajet dan perisian teknologi ini dalam hampir semua urusan seharian kita, sama ada untuk bergerak, membeli-belah, apatah lagi berhubung.

Inilah dunia hari ini, sehalanya mengenai gajet terkini dan moden yang sesuai dengan kepantasan hidup ini bergerak, dan ia bukan sekadar menawarkan perkhidmatan dan pembaharuan, tetapi menyogokkan kita dengan cara hidup yang serba-baru atas nama sofistikated atau canggih.

Barangkali, pada suatu masa nanti, pengertian hidup moden dan ke depan ditandai dengan pemilikan dengan aspek ini, dan ini bermakna membuka suatu lembaran baru daripada sudut ekonomi dan cara hidup, bagaimana teknologi ini mampu menjana ekonomi penghasil atau pengeluar, malah pengguna boleh memanfaat teknologi ini dalam perekenomian.

Bagi anak-anak muda khususnya generasi Y dan Z, ini merupakan era mereka, hidup dan kehidupan mereka serba-serbinya menjadi lebih pantas dan bergantung sebahagian besar kepada teknologi ini dengan gajet dan perisian terkini, memberikan mereka segala yang dimahukan seperti untuk berlibur, berhubung dan segala bentuk perolehan maklumat.