Wednesday, June 23, 2010

Pro dan Kontra Pemansuhan UPSR dan PMR


Pada 28 Jun, pukul 5.31 petang U-Wartawan akan membincangkan topik pemansuhan UPSR dan PMR yang dibangkitkan oleh Menteri Pelajaran minggu lepas. Sekadar lontaran cadangan walaupun dikatakan ia bukan suatu keputusan dan masih menunggu reaksi orang ramai.

Orang biasa mengatakan untuk maju dan bergerak ke depan, kita perlu berubah seiring dengan tempat, masa, keadaan dan persekitaran, dan hikmah itu mungkin menjadi landasan kenapa, sekali lagi pendidikan kita perlu dipinda. Bagaimanapun, ramai yang melihat cadangan ini tidak boleh diterima dengan alasan dan sebab yang boleh diterima akal, tetapi seperti yang dikatakan tadi, kalau hendak berubah, makan sesuatu dilakukan.

Namun, harus diingat, maju dan bergerak ke depan dengan segala perubahan, status yang tidak berubah juga tidak menjadi menghalang, apatah lagi ia merupakan mekanisme terbaik dan sesuai kepada sistem dan pelaksanaan. Antara alasan yang diberikan oleh pihak yang tidak bersetuju adalah, jika peperiksaan awam dimansuhkan, apakah maknanya anak-anak pergi ke sekolah - seolah-olah bersekolah tidak mempunyai makna atau tujuan yang tertentu dan khusus. Jika dalam keadaan sekarang sistem persekolahan menghendaki peperiksaan awam seperti ini, gejala malas ke sekolah dan ponteng menjadi lumrah, apakah dengan tidak ada peperiksaan awam, gejala ini akan bertambah baik.

Itu antara hujah mudah yang dilontar dan terdapat pula yang mahukan, UPSR dikekalkan tetapi PMR dimansuhkan, juga dengan alasan masing-masing. Pada masa sama ada yang memilih untuk bersetuju supaya kedua-duanya dimansuhkan dengan menyokong hujah seperti sistem persekolahan dan pelajar terlampau dibeban untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Atau kita perlu memikirkan pilihan lain, misalnya, jika kita merasakan sistem peperiksaan tidak menambah kebaikan kepada pembangunan dan pembentukan pelajar serta kemajuan negara, maka suatu perubahan dan pembaharuan perlu dilakukan kepada sistem peperiksaan. Persoalannya, apakah perubahan yang mahu dilakukan.

tetapi ramai yang menyatakan bahawa, terlalu banyak perubahan dan pindaan dalam pendidikan negara sehingga anak-anak menjadi mangsa kepada ujikaji perubahan itu, dan perubahan seolah-olah seperti menukar maju - bila orang politik yang menerajui kementerian berkaitan berubah, maka ada sesuatu yang dilakukan atas nama perubahan dan pembaharuan.

Dalam hal ini, sekali lagi, kita sebagai masyarakat madani perlu memikirkan, apakah keperluan dan kewajaran jika ia dimansuhkan, atau jika mahu dikekalkan, apakah pemantapan yang perlu dilakukan, atau, kita kekal dengan keadaan yang ada. Sebab selama ini pun apa yang terhasil dan ada di depan mata juga merupakan hasil daripada sistem peperiksaan.