Tuesday, April 19, 2011

Subsidi Tenaga Untuk Pengguna






Tenaga elektrik yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini dikatakan mendapat subsidi daripada kerajaan, tindakan yang dilakukan untuk mengurangkan beban bil yang ditanggung. Namun, langkah kerajaan itu dilihat menjadi bebanan apabila harga bahan bakar seperti petrol dan gas meningkat seperti yang berlaku sekarang.



Dalam setahun kerajaan dilaporkan membelanjakan RM19 bilion sebagai subsidi kepada pembekal tenaga bebas (IPP) dan ia merupakan suatu jumlah yang besar.



Setakat ini, tidak ada desas-desus kerajaan akan mengurangkan subsidi tenaga itu tetapi, jika kerajaan bertindak mengurangkan tanggungan subsidi itu, pastinya ia akan diserapkan dalam bil pengguna dan sebarang pengurangan subsidi yang besar dan kenaikan harga bahan bakar yang tinggi sudah pastinya menjerat pengguna.



Dalam perkara ini, tenaga dan bil bulanan yang dibayar pengguna bukanlah barang atau perkhidmatan mewah, tetapi merupakan keperluan dalam kehidupan hari ini, kerana sudah pastinya kita mahukan lampu yang menyala untuk menerangi kegelapan, atau kipas yang berputar ligat atau penghawa diingin untuk menghilangkan kepanasan.



Kita kembali kepada pengurangan subsidi tenaga, persoalannya, apakah impaknya kepada pengguna? Ini merupakan persoalan sensitif kepada kerajaan dan juga pengguna. Bagi kebanyakan pengguna hari ini, bil elektrik yang ditanggung sudah dianggap tinggin - jika tidak terlalu membebankan, tetapi pengurangan subsidi dan kenaikan bil dalam angka 10 peratus hingga 50 peratus sudah pasti memberikan impak kepada pengguna, terutamanya kesan kewangan. Dan bagi keluarga pertengahan dan rendah, kesan kewangannya pasti dirasakan berat, dan kita tidak boleh meminta mereka mengurangkan penggunaan elektrik - seperti menonton tv atau sebagainya - sebagai langkah berjimat, jikapun kita boleh mendidik mereka menjadi pengguna tenaga yang bijak.



Untuk perbincangan kali ini, kami membawa topik Implikasi Pengurangan Subsidi Tenaga Kepada Pengguna, untuk melihat apakah kesan pengurangan subsidi kepada pengguna sama ada aspek kewangan, habit penggunaan tenaga, kehidupan sosial, ekonomi dan politik. Perspalannya, apakah pengurangan subsidi merupakan langkah terbaik kepada pengguna dan kerajaan? Mungkin kita perlu merenung jika kerajaan mahu mengurangkannya dan mengikhtiarkan langkah tertentu untuk mendepani dan juga melihat, bagaimana kerajaan mahu mendepani situasi menanggung subsidi dalam tempoh jangka panjang dalam keadaan bahan bakar yang melonjak.



Saksikan perbincangannya di Astro Awani (Saluran 501) pada pukul 10 malam, 22 April ini dan ulangannya pada pukul 6 pagi dan 11.30 pagi 23 April.