Wednesday, September 21, 2011

Amalan Makan Rakyat Malaysia



Selamat Aidilfitri dan Syawal. Sepanjang bulan Syawal ini, pastinya banyak jamuan raya, terutamanya pada hari hujung minggu yang perlu dihadiri. Demikianlah, selepas sebulan berpuasa dan mengawal makan minum dan nafsu, pada bulan Syawal, kebanyakan daripada kita seperti hilang kawalan terhadap nafsu makan, atau makan seperti orang lupa untuk kurangkan makan.

Cuba perhatikan bagaimana pengunjung rumah terbuka atau jamuan raya menikmati makanan? Penuh meja dan berpinggan-pinggan. Itu baru satu rumah terbuka. Bagaimana pula jika dalam sehari ada empat hingga lapan atau 10 rumah terbuka? Dan kalau dihitung panjang, dalam sebulan berapa banyak kuantiti makanan dan berapa banyak jenis makanan yang kita makan. Itu belum mengambil kira apakah makanan yang kita ambil benar-benar sesuai atau berkhasiat untuk tubuh kita, atau gabungan makanan yang kita ambil sesuai untuk dimakan.

Reseki jangan ditolak, seolah-olah menjadi suatu kewajipan kepada rakyat Malaysia untuk makan atau menjadi lesen untuk makan tanpa menyedari, rezeki yang jangan ditolak boleh menjadi bala yang dicari. Ini bukan untuk menidakkan, apakah kita perlu atau boleh makan, tetapi harus memikirkan, bolehkah kita makan. Lantaran itu, kita wajar menilai pemakanan dan amalan pemakanan kita kerana makanan yang diambil akan menjadi darang daging kita, malah akan menjadi penyakit.

Tabiat makan yang tidak terkawal atau selera mengikut nafsu boleh diumpamakan seperti lori sampah majlis bandaran atau dewan banda raya, bermakna kita makan tanpa sebarang sekatan atau pantang, atau pantang jumpa makanan, kita lahap.

Pemakanan - apa yang kita makan dan masa kita makan merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian terutamanya apabila kini semakin menular gejala penyakit makanan dan gaya hidup yang tidak sihat. Obesiti dan penyakit akibat terlebih makan dan kurang senaman atau aktviti fizikal semakin menular dalam masyarakat merupakan suatu yang membimbangkan. Tetapi, apakah masyarakat Malaysia merupakan pemakan yang bijak dan tahu bahan yang dimakan, atau makan seperti tak ingat.

Lantaran itu, kita wajar melihat kembali melihat amalan pemakanan kita, lebih-lebih lagi ketika begitu banyak jemputan makan sehingga kita menjadi terlalu bernafsu dan hilang kawalan terhadap makanan.

Apakah kita mahu hidup untuk makan, atau makan untuk hidup. Atau kita mati sebab makan.






Topik: Amalan Pemakanan Rakyat Malaysia

Siaran: 23 September 2011

Masa: 10 malam (Siaran Langsung).