Wednesday, November 18, 2009

Kualiti perkhidmatan kaunter



Perkhidmatan kaunter selalunya lebih dekat dengan pelanggan/orang ramai kerana perkhidmatan kaunter merupakan ‘barisan hadapan’ sesebuah organisasi samada awam atau swasta. Kebiasaanya, perkhidmatan kaunter akan mencerminkan perkhidmatan secara ‘first impression’ kepada pelanggan kerana kebanyakan urusan yang melibatkan organisasi tersebut dijalankan menerusi perkhidmatan kaunter dan sebagai tempat resepsi utama sebelum dilanjutkan untuk berurusan.


Walaubagaimanapun, perkhidmatan kaunter juga sering dilihat sebagai tidak memenuhi keperluan dan kehendak mereka serta sukar untuk mendapatkan kerjasama, kurang kecekapan, atau dalam kata yang mudah, tidak mesra pelanggan. Seringkali kita mendengar pelbagai aduan yang diterima oleh orang ramai dan pelanggan yang menyatakan rasa ketidakpuashatian mereka terhadap layanan yang diterima di samping struktur prasarana di tempat menunggu yang kurang selesa.


Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik bagi meningkatkan prestasi dan memulihkan imej perkhidmatan kaunter di mana-mana organisasi dan apakah melalui pembaharuan sistem kerja yang efektif dan cekap sudah cukup bagi memastikan kepuasan hati pelanggan diutamakan? bagaimanakah bentuk pengurusannya, serta bagaimana ingin menilai tahap kepuasan pelanggan/orang ramai terhadap perkhidmatan kaunter? kongsikan di U-Wartawan, anda juga wartawan.

Wednesday, November 11, 2009

Manifestasi Suara Belia




Di Malaysia, dianggaran sebanyak 11.8 juta jumlah bilangan golongan belia di dalam negara. Belia adalah golongan yang dikategorikan berada dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun mengikut garis panduan Dasar Belia Negara. Dewasa ini, suara belia adalah signifikan dalam masyarakat kita memandangkan suara belia dikatakan lebih segar dan membawa pengaruh yang sangat besar dalam negara kita pada hari ini.

Sejarah membuktikan bahawa dalam menuntut kemerdekaan negara, suara-suara inilah yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme di dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah british. Hal ini jelas menunjukkan betapa kuat dan besar impak suara belia yang menjadi tunggak dan tulang belakang negara.

Selepas 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, suara belia harus meneruskan kesinambungan ini dalam membentuk kecemerlangan yang lebih kepada negara dan meningkatkan kemajuan negara. Persoalan yang perlu diberikan perhatian adalah; Apakah bentuk cabaran belia di dalam alaf 21 ini serta apakah aspek yang perlu diberikan penekanan di dalam melahirkan generasi belia yang cemerlang dan berjaya dewasa ini?

Selain daripada itu, mungkin ramai belia yang tidak menyedari mengenai potensi dan hak-hak suara mereka untuk didengar. Wawasan 2020 yang diilhamkan pada tahun 1991 seharusnya ditunjangi oleh golongan ini dan mereka seharusnya lebih peka dalam keupayaan berkongsi idea dan pelbagai bentuk sumbangan bagi merealisasikanya. Oleh itu, apakah saluran yang terbaik yang boleh diaplikasikan oleh golongan belia pada hari ini dalam menyalurkan idea dan pendapat mereka? dan bagaimana membentuk keyakinan belia dalam menyumbang cetusan idea mereka? apakah juga langkah-langkah yang boleh diambil bagi memberikan peluang yang adil dan saksama kepada golongan belia dalam membangun dan memajukan negara? kongsikan pendapat anda di U-Wartawan, anda juga wartawan.

Wednesday, October 14, 2009

Masalah Jantung Anak Muda



Masyarakat sering beranggapan, penyakit jantung selalunya sering menyerang golongan berusia sahaja. Mungkin juga yang beranggapan penyakit jantung berlaku sekiranya mereka merokok dalam tempoh yang lama sebelum dikesan menghidap penyakit tersebut dalam usia 40-an. Pemikiran sebegini sering melanda masyarakat kita pada hari ini walhal, golongan muda juga tidak terkecuali daripada berpotensi mengidap penyakit kardiovaskular (CVD) dan lain-lain penyakit yang boleh mengancam nyawa.

Sesungguhnya, langkah-langkah pencegahan perlu dititik beratkan seawal usia lagi. Kes yang mengejutkan berlaku dewasa ini apabila Ketua Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Madya Dr Oteh Maskon mengeluarkan kenyataan bahawa kira-kira lima peratus daripada 450 pesakit yang dimasukkan ke wad di PPUKM dalam tempoh setahun terdiri daripada golongan yang berusia bawah 40 tahun, yang rata-ratanya pada masa sama didiagnosis menghidap darah tinggi dan kencing manis, selain perokok. Hal ini menunjukkan betapa serius anjakan angka golongan yang mengidap penyakit ini.

Bagaimana kita memupuk generasi muda dalam mengutamakan kesihatan? dan bagaimana harus kita membawa persepsi masyarakat ke luar lingkaran dan pemikiran statik golongan masyarakat mengenai kepentingan kesihatan kardiovaskular?

Juga, bagaimana serta apakah gaya hidup masa kini yang menjurus kepada peningkatan kes ini dewasa ini? dan apakah implikasi buruk terhadap golongan muda dalam jangka masa panjang?
Selain itu, kesedaran juga masih tidak mencukupi sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak dipraktikkan. Apakah langkah yang perlu disarankan agar golongan muda masa kini dapat mempraktikkan supaya dapat mengelakkan diri daripada berpotensi mengidap penyakit jantung? kongsikan pandangan dan pendapat anda di U-wartawan. Anda juga wartawan.