Wednesday, March 3, 2010

Mutu Piawaian Halal


Bagi kebanyakan umat Islam, isu halal atau tidak halal merupakan perkara sensitif, apatah lagi ia bersangkutan dengan "apa yang masuk ke dalam badan dan menjadi darah dan daging." Daripada sudut komersial, halal dilihat menjadi satu strategi perniagaan, terutamanya dalam perniagaan membabitkan makanan, tanpa tanda halal bermakna hilang pelanggan.

Bagaimanapun dalam dunia memburu kesenangan dan kejayaan dalam perniagaan, logo halal menjadi korban apabila disalahguna atau diperoleh secara mudah tanpa mengikut prosedur operasi yang ditetapkan. Terdapat beberapa contoh yang didedahkan dalam media menunjukkan bagaimana pengilang menggunakan logo halal yang boleh dibayar tetapi keadaan produk dan kilangnya sungguh menjijikkan. Apakah yang kita boleh lakukan dengan permasalahan ini selain daripada mendenda dan mengheret pihak tidak bertanggungjawab ini ke mahkamah? Menutup kilang mungkin salah satu pilihan.

Bagaimana pula kuasa yang ada pada Jakim dalam menguatkuasakan undang-undang halal, dan begitu juga sistem perundangan dan mekanisme teknikal yang ada dalam melaksanakan misi halal. Ini perkara yang perlu diselesaikan secara tuntas memandang, sejak sekian waktu kerajaan telah berusaha menjadikan Malaysia sebagai hab halal.

Kita harus bertindak tegas dan tanpa kompromi dalam isu halal ini supaya tidak diperlekeh atau diambil mudah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini, misalnya menggunakan tanda halal sewenang-wenangnya tanpa mendapatkan kelulusan dan mengikut prosedur halal, dan sijil dan pengesahan halal yang boleh diterima dalam negara ini juga perlu daripada satu pihak iaitu Jakim atau mana-mana badan yang diberi tangggungjawab pada masa akan datang.

Dewasa ini halal seolah-olah menjadi pameran perniagaan tanpa dapat dipastikan kesahihan statusnya dan ini sudah tentunya suatu yang amat mengganggu pihak berkuasa perlu bekerja dengan lebih kuat dan membawa suatu penyelesaian menyeluruh dan komprehensif berhubung perkara ini.

Sudah sampai masanya, piawaian halal ini menjadi suatu kemestiaan kepada semua pengeluar produk dan perkhidmatan sebagaimana mereka perlu mematuhi piawaian-piawaian lain seperti kesihatan dan keselamatan serta piawaian SIRIM, misalnya. Sewajarnya, selepas ini tidak ada pertikaian seperti yang dibangkitkan bahawa jika produk atau perkhidmatan itu diusahakan oleh orang Islam, maka ia sudah mematuhi piawaian halal kerana soal halal tidak terbatas pada bersihnya sesuatu produk atau perkhidmatan daripada unsur babi atau ayam, lembu, kambing atau binatang lain disembelih mengikut kehendak Islam semata-mata.