Tuesday, April 13, 2010

MEB: Perspektif Anak Muda


Model Ekonomi Baru yang diumumkan baru-baru ini merupakan suatu anjakan dalam pemikiran pembangunan negara selepas Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan selama empat dekad. Ia dikatakan suatu landasan baru dalam mengerakkan pembangunan dengan cara dan kerangka berbeza sesuai dengan keperluan semasa.

Ia bukan persoalan mewujudkan suatu suasana ekonomi domestik tetapi turut menyediakan negara untuk terus berdaya saing pada tahap kecekapan tertinggi sesuai dengan pengisian untuk menjadi sebuah negara maju.

Beberapa isu yang dibangkitkan seperti perangkap ekonomi pertengahan memperlihatkan negara dalam situasi yang sukar apabila berada di dalam keadaan yang sukar apabila bersaing dengan negara maju dan ekonomi nilai tinggi, sedang pada masa sama tidak dapat bersaing secara cekap dengan negara yang baru membangun.

Persoalan yang dibangkitkan ini merupakan sebahagian daripada permasalahan dan penyelesaian yang perlu ditangani dan dicapai, dan sebagai anak muda, adakah anda mempunyai pemikiran yang lebih tajam dan bernas dalam menjawab MEB. Bagaimana anda mahu menterjemah suatu idea dan pemikiran di atas kertas menjadi suatu yang mampu laksana.

Selama ini anak muda, khususnya generasi muda masa kini dikatakan memiliki pendedahan dan keberanian menyuakan pandangan, lantas bagaimana MEB dilihat melalui pemahaman anak muda kerana model ini juga merupakan masa depan mereka.

Jika anak muda hari ini masa depan negara, maka model ini merupakan satu asas untuk mereka mengukuhkan asas ekonomi dan memperteguhkan diri untuk bersaing dalam negara dan juga antarabangsa. Atau jika benar, anak muda mempunyai pemikiran analitikal dan kritis, maka mereka perlu berupaya mencambah pemikiran dalam memberi tafsiran kepada MEB dan mengambil model ini untuk manfaat diri dan menggilap upaya diri.

Zaman untuk kita disuap dan disogok dengan pelbagai bantuan dan subsidi perlu dikikis dan dibuang kerana cabaran masa akan datang memerlukan manusia yang berdaya saing atas nama merit dan kompetetif.

Atau anda, sebagai anak muda masih mencari sesuatu dalam MEB ini yang perlu ada dan wajib ada.