Wednesday, December 15, 2010

Masa Depan Generasi Muda Felda


Selepas generasi pertama mengecapi segala kepayahan dalam meneroka tanah dan mengubah kehidupan mereka, kini tiba masanya kepada generasi kedua, ketiga dan juga keempat yang bakal mengubah arah tuju kehidupan mereka dan juga rancangan pembangunan tanah kerajaan ini. Felda merupakan nama besar dalam pembangunan negara, malah menjadi contoh kepada negara lain bagaimana pembangunan luar bandar ditransformasikan secara besar-besaran dan ekonomi skala besar.

Namun, perubahan masa memperlihatkan perubahan berlaku dalam Felda dan juga orientasi perniagaan pertaniannya, dan demikian juga generasi kedua dan seterusnya. Persoalan yang sering dibangkitkan adalah sejauhmanakah mereka mampu membawa legasi Felda dalam mendepani perubahan sosio-ekonomi dan demografi.

Perkara paling mudah untuk diperhatikan, tidak mungkin semua anak yakni generasi kedua dan ketiga atau keempat dapat mewarisi tanah yang diusahakan oleh generasi pertama, dan dengan andaian jika mereka terus kekal di Felda, apakah yang mereka mampu sumbangkan, atau apakah yang boleh mereka lakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apakah mereka akan menjadi buruh ladang yang tidak bertanah? Jika ini berlaku, bermakna nasib mereka boleh dianggap lebih terus berbanding generasi pertama. Malah, dewasa ini kita boleh saksikan bagaimana ladang-ladang Felda ini dilimpahi oleh kemasukan buruh asing teruatama Bangladesh dan Indonesia.

Lantaran itu, sesuatu perlu dilakukan dan juga difikirkan bersama bukan sahaja warga Felda sendiri, malah pihak berwajib dalam membentuk arah tuju generasi baru Felda. Mungkinkah nasib mereka perlu dibuka sama seperti anak-anak kampung tradisi lain yang perlu berhijrah keluar untuk membaiki hidup atau memulakan kehidupan baru tanpa tongkat khusus pihak berkuasa. Ketika pencapaian dan meritokrasi sering diperkatakan, mungkin anak-anak generasi baruy Felda ini perlu mengubah paradigma dalam kehidupan mereka untuk lebih berdikari dan mengupayakan kendiri untuk mencipta kejayaan sama seperti anak-anak lain yang tidak lahir dalam Felda.

Bagi mengikuti perbincangan topik ini, sila menonton rancangan U-Wartawan, 17 Disember di Saluran 501, Astro Awani pada pukul 10 malam.

Monday, September 27, 2010

Euphoria iPhone4


Bagi golongan yang taksub terhadap gajet dan perisian ICT, pastinya pelancaran iPhone4 mencetuskan fenomena baru yang memerlukan mereka menjadi peserta kepada perkembangan terbaru ini, dengan fahaman dan gambaran, memiliki gajet bersama perisian terkini menjadi satu simbol status berada dalam kelompok depan dalam masyarakat moden hari ini.

Fenomena ini menunjukkan bagaimana teknologi begitu memain peranan dalam kehidupan dan memiliki dan menguasainya merupakan suatu kebanggaan dan ia mempunyai suatu daya tarikan yang tidak boleh ditolak sama-sekali.

Namun, melihat kepada gaya dan trend pemilikan, kita boleh memahami bahawa masa depan bakal memjadikan hidup dan kehidupan kita lebih berpaut kepada gajet dan perisian teknologi ini dalam hampir semua urusan seharian kita, sama ada untuk bergerak, membeli-belah, apatah lagi berhubung.

Inilah dunia hari ini, sehalanya mengenai gajet terkini dan moden yang sesuai dengan kepantasan hidup ini bergerak, dan ia bukan sekadar menawarkan perkhidmatan dan pembaharuan, tetapi menyogokkan kita dengan cara hidup yang serba-baru atas nama sofistikated atau canggih.

Barangkali, pada suatu masa nanti, pengertian hidup moden dan ke depan ditandai dengan pemilikan dengan aspek ini, dan ini bermakna membuka suatu lembaran baru daripada sudut ekonomi dan cara hidup, bagaimana teknologi ini mampu menjana ekonomi penghasil atau pengeluar, malah pengguna boleh memanfaat teknologi ini dalam perekenomian.

Bagi anak-anak muda khususnya generasi Y dan Z, ini merupakan era mereka, hidup dan kehidupan mereka serba-serbinya menjadi lebih pantas dan bergantung sebahagian besar kepada teknologi ini dengan gajet dan perisian terkini, memberikan mereka segala yang dimahukan seperti untuk berlibur, berhubung dan segala bentuk perolehan maklumat.

Thursday, August 12, 2010

Emansipasi Palestin


Isu Palestin merupakan masalah berpanjangan tanpa kesudahan. Walaupun banyak dalil atau hujah, termasuk mengaitkannya dengan ketentuan Tuhan, persoalannya, apakah kita hanya mahu berdiam diri tanpa berusaha.

Tegasnya, kita sebagai manusia sivil dan juga Islam harus berbuat sesuatu, paling tidak pun menyumbang sedikit wang atau menghulurkan doa untuk kebaikan sahabat kita di Palestin yang terus dihina di tanah tumpah sendiri sejak lebih enam dekad.

Jika melihat pada situasi semasa, semua akan tahu mengenai penguasaan Yahudi yang tidak dapat ditentang kerana hubungannya dengan Amerika Syarikat, tetapi itu bukan alasan untuk kita beralah dan hanya meletakkan kesalahan kepada kuasa besar ini, atau mengecam Yahudi dan negara Israel sahaja.

Perkara yang penting demi melihat Palestin akan terus bertahan adalah perlunya sokongan dan bantuan berterusan seluruh masyarakat Islam dan dunia yang mencinta keadilan dan kesakmaan, bahawa perjuangan Palestin dalam apa jua bentuk mesti berterusan, bukan bermusim atau tenggelam timbul.

Perkara penting adalah menyatukan seluruh umat dan negara Islam, mempengaruhi masyarakat dunia dan mengenakan tekanan terhadap negara Yahudi dan AS bahawa kekejaman dan ketidakadilan mereka tidak boleh diterima oleh dunia, bahawa mereka mesti bertanggungjawab terhadap perbuatan dan tindakan mereka selama ini dan membetulkan segala kesalahan dan kerosakan.

Emansipasi Palestin bukan anti-Yahudi atau Israel, tetapi ini adalah memberi hak kepada yang hak dan memadamkan kekejaman dan ketidakadilan yang dipaksa ke atas bangsa lain.

Wednesday, August 4, 2010

Ramadan Anak Muda


Selamat menyambut bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam dan selamat menunaikan ibadat puasa. Ini peluang setahun sekali dan nikmat yang patut dsyukuri apabila kita berpeluang sekali lagi menyambutnya.


Sebelum kita melalui bulan Ramadan ini, ada baiknya kita merenung semula Ramadan yang pernah dilalui, juga hari-hari dalam kehidupan selama ini, apakah yang kita perbuat dan lakukan dalam hidup, segala kebaikan dan keburukan, kelebihan dan kekurangan yang kita telah lakukan.


Ramadan ini juga kita berpeluang sekali lagi untuk merenung dan bermuhasabah diri, menginsafi segala kekurangan dan kelemahan yang telah diperbuat dengan harapan dan doa dapat dibaiki. Begitu juga ini merupakan masa terbaik untuk kita meningkatkan amal bagi mendapat keberkatan dan kerahmatan-NYA yang berganda-ganda.


Jadikan ia permulaan kepada suatu kehidupan, perubahan baru dalam hidup untuk menempuh hari-hari kemudian yang lebih baik, sebagai umat Islam yang terbaik dan terpuji dalam segalanya.


Bulan ini merupakan suatu landasan untuk melakukan anjakan dan perubahan bahawa tidak ada lagi diri kita yang sebelum ini, berwajah herot dan kotor, dan melakukan perubahan sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Pada masa sama, bagaimana pula kita melihat diri dalam konteks yang lebih luas dan besar, dalam lingkungan kehidupan berjiran, setaman, sekampung dan sebagai satu umat peringkat negara, mahupun sejagat.


Banyak cabaran yang melanda, bukan terhadap diri secara peribadi tetapi sebagai umat Islam secara keseluruhan, bahawa perjuangan sentiasa berterusan dan musuh tetap ada dan selalu ada memerhati dan bertindak atas kealpaan dan kelemahan.


Bulan Ramadan, tidak sekadar berlapar dan berharga, lebih daripada itu menuntut pemahaman dan penghayatan untuk membersihkan jiwa dan hati kita daripada segala yang buruk dan batil, dan menjadi umat manusia terbaik.


Selamat menyambut puasa Ramadan dan ikuti siaran U-Wartawan pada 6 Ogos @ 10 malam yang akan memperkatakan topik ini. Selamat menonton.

Thursday, July 29, 2010

Guru Siswazah Berpolitik


Tidak dinafikan guru memainkan peranan besar dalam politik negara ini, terutamanya politik Melayu pada tahun 1950-an dan 1960-an, tetapi seiring dengan perjalanan masa, peranan guru telah ditiadakan.

Namun, dengan pengumuman terbaru, guru siswazah diberi kebenaran untuk terlibat aktif dalam politik, itu pun dengan kebenaran dan kelulusan. Bagaimana pun ramai yang tertanya-tanya dengan keputusan kerajaan ini dan ada yang melihat ia merupakan keputusan terdesak dan sukar difahami.

Sebelum kita melihat lebih jauh, ada baiknya kita merenung dulu peranan guru hari ini dan juga berpedaan politik negara masa kini berbanding sebelum dan pada tahun-tahun awal kemerdekaan.

Memang benar mereka pernah memainkan peranan penting dan besar serta pengaruh mereka amat besar kepada demografi negara, namun, hakikatnya realiti politik semasa mungkin menyebabkan guru berpolitik dianggap tidak sesuai.

Suatu ketika dulu peranan guru dianggap penting kerana mereka merupakan golongan terpelajar negara pada masa itu, malah merupakan anak warga terdidik yang ramai berbanding bilangan berbanding bidang lain. Pada masa sama, guru mendapat tempat tinggi dalam masyarakat, justeru pengaruh mereka juga kuat.

Lalu melihat kepada situasi politik semasa, apakah suasana pada tahun 50-an dan 60-an masa serupa dengan keadaan hari ini? Ini persoalan yang perlu diambil kira tatkala banyak cakap-cakap menyebut tugas guru di sekolah yang sarat.

Dan jika guru siswazah dibenarkan berpolitik secara aktif, bagaimana pula tumpuan kepada anak murid di kelas, sedangkan masa yang diperlukan untuk berpolitik juga begitu menuntut dan menekan. Ia sebenarnya sama seperti seseorang mempunyai dua kerjaya dalam satu masa.

Lantas, apakah kita akan mendapat kualiti pendidikan terbaik untuk pembentukan generasi baru negara, atau keperluan politik semasa amat menuntut dan perlu dipenuhi.

Sama ada positif atau negatif tindakan ini, terpulang kepada individu yang memilih untuk menjadi ahli politik yang aktif dan perlunya mempunyai sikap objektif dalam dua bidang ini kerana sebagai seorang guru tentunya perkara yang diutamakan adalah kerjaya sebagai guru dan bukannya politik kepartian.
Topik: GURU SISWAZAH BERPOLITI
Masa: 10 mlm
Tarikh: 30 Julai 2010
Saluran: Astro AWANI (501)
Tamu: Dr. Ramli Basri, Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM

Monday, July 5, 2010

Palestin: Visi Baru Perjuangan


Berakhirnya Perang Dunia Kedua memperlihatkan juga nasib rakyat Arab Palestin sebagai pelarian di bumi sendiri, dan sejak sekian lama harapan untuk menyaksikan nasib mereka terbela semakin meruntun hati dan mencatat nota kecewa. Apakah ini nasib pancang tentang kekecewaan atau kegagalan masyarakat Arab dan dunia Islam dalam memperjuangkan nasib mereka.

Tentunya, dalam isu Palestin ini, kita tidak perlu berbicara tentang keadilan kerana ia sudah lama lesap, tetapi sebagai orang yang prihatin dan peduli, apakah yang boleh dan mampu kita sumbangkan.

Rasanya, sekadar berdemo setiap kali ada isu berkaitan Palestin dan kekejaman Israel, ia tidak memadai kerana sejak sekian lama, luahan asa marah dan benci terhadap bangsa Yahudi dan rejim Tel Aviv tidak pernah meninggalkan kesan atau perubahan positif. Ini bukan persepsi pesimis, tetapi dalam pelbagai usaha yang dilakukan terutamanya politik dan diplomatik, kita perlu memikirkan hemat dan cara baru dalam berdepan dengan keangkuhan dan kekejaman tegar bangsa Yahudi menindas rakyat Palestin dan mempermainkan masyarakat dunia.

Begitu juga, kita tidak boleh bergantung harap kepada Washington yang lebih merupakan kerbau dicucuk hidup wilayah bangsa Yahudi dan PBB seperti tidak mempunyai sebagai makna kewujudan dalam isu Palestin.

Sewajibnya, kita kembali kepada diri kita, sebagai umat Islam dan atas nama kemanusiaan sejagat untuk memikirkan dan menyalurkannya dalam bentuk tindakan, langkah atau cara untuk berdepan dengan kemelut ini agar rakyat Arab Palestin mendapat haknya - hak mendirikan negara sendiri yang merdeka, bebas dan bermaruah - juga memaksa bangsa Yahudi menerima hakikat bahawa tanah yang mereka duduki bukan hak mutlak mereka.

Demikian juga sekatan tidak adil ke atas wilayah Palestin - Gaza dan Tebing Barat - sewajarnya ditamatkan serta-merta dan tanpa syarat, serta menidakkan semua alasan rejim Tel Aviv yang kononnya melindungi kesilapannya. Ini juga merupakan salah satu isu penting dalam perjuangan Palestin selain mendapat tanah dengan status merdeka.

Namun sebagai warga prihatin, apakah input, idea, cadangan dan gagasan yang boleh kita salurkan demi Palestin, selain daripada bantuan material berupa bantuan perubatan, makanan atau pembinaan untuk warga Palestin khususnya di Tebing Barat. Mereka sudah lama dihina, ditindas dan menderita dan menanti pembelaan dan keadilan yang tidak pernah wujud dalam realiti.

Monday, June 28, 2010

Subsidi perspektif Pengguna


Ramai yang marah-marah dan meluahkan perasan tidak senang dengan pengumuman kerajaan bercadang menarik balik subsidi, dengan alasan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, dan lebih teruk jika subsidi terus diberikan akan menyebabkan Malaysia lingkup macam Greek.

Benarkah? Ramai yang beranggapan Malaysia tidak akan terjerumus ke tahap tersebut berikutan asas ekonomi dan kewangan Malaysia yang lebih baik, tetapi tidak kurang juga yang mendakwa, masalah kewangan kerajaan berpunca daripada ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan, yakni, banyak wang yang dibelanjakan oleh kerajaan tidak sampai kepada sasaran, sebaliknya hanya memenuhi kantung pihak tertentu.

Namun perkara yang menarik harus dirujuk dan diperkatakan dalam perkara ini bahawa subsidi merupakan perbelanjaan yang turut ada dalam Islam, yakni wang perbendaharaan yang dikeluarkan untuk membantu golongan sasaran dalam kehidupan seharian, misalnya golongan miskin.

Ahli ekonomi pula mendakwa subsidi mengherotkan ekonomi, yakni dianggap sesuatu yang tidak baik kepada ekonomi tetapi harus disedari subsidi juga berperanan besar dalam merangsang ekonomi dan keupayaan membeli. Selain sebab ini, sebenarnya, kita tidak boleh menganggap subsidi sebagai suatu yang jengkel atau negatif dan tidak sepatutnya ada.

Cuma dalam keadaan tahap pendapatan rakyat Malaysia sekarang ini, dengan harga tanpa subsidi, apakah kita mampu hidup dengan selesa, bergerak dengan mudah memandu kereta yang minyaknya mendapat subsidi kerajaan. Jangan lupa negara yang harga minyaknya tinggi penduduknya diselamatkan oleh situasi seperti pembelian kereta yang tidak dibeban dengan bayaran cukai yang tinggi seperti Malaysia, selain tahap pendapatan mereka yang tinggi menjadikan harga kereta relatif rendah, sedang di Malaysia dengan tahap pendapatan sekarang bagi kebanyakan rakyat Malaysia, harga kereta dianggap tinggi.

Ini sekadar contoh mudah yang boleh disangkal dengan pelbagai teori dan andaian tetapi satu pertanyaan mudah, negara manakah tidak ada subsidi kerajaan untuk barang, komoditi dan perkhidmatan?

Namun dalam keadaan dunia sekarang dan keperluan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk menjana pembangunan dan kemajuan, wang untuk perbelanjaan merangsangkan ekonomi amat diperlukan tetapi menidakkan bantuan kerajaan atau subsidi tidak boleh diketepikan. Perkara yang penting adalah keperluan menentukan keutamaan perbelanjaan dan subsidi kepada kumpulan sasar yang layak. Hakikatnya, kita masih memerlukan subsidi dan kecekapan menguruskan kewangan agar tidak berlaku ketirisan perlu dielak atau dipastikan tidak berlaku.

Wednesday, June 23, 2010

Pro dan Kontra Pemansuhan UPSR dan PMR


Pada 28 Jun, pukul 5.31 petang U-Wartawan akan membincangkan topik pemansuhan UPSR dan PMR yang dibangkitkan oleh Menteri Pelajaran minggu lepas. Sekadar lontaran cadangan walaupun dikatakan ia bukan suatu keputusan dan masih menunggu reaksi orang ramai.

Orang biasa mengatakan untuk maju dan bergerak ke depan, kita perlu berubah seiring dengan tempat, masa, keadaan dan persekitaran, dan hikmah itu mungkin menjadi landasan kenapa, sekali lagi pendidikan kita perlu dipinda. Bagaimanapun, ramai yang melihat cadangan ini tidak boleh diterima dengan alasan dan sebab yang boleh diterima akal, tetapi seperti yang dikatakan tadi, kalau hendak berubah, makan sesuatu dilakukan.

Namun, harus diingat, maju dan bergerak ke depan dengan segala perubahan, status yang tidak berubah juga tidak menjadi menghalang, apatah lagi ia merupakan mekanisme terbaik dan sesuai kepada sistem dan pelaksanaan. Antara alasan yang diberikan oleh pihak yang tidak bersetuju adalah, jika peperiksaan awam dimansuhkan, apakah maknanya anak-anak pergi ke sekolah - seolah-olah bersekolah tidak mempunyai makna atau tujuan yang tertentu dan khusus. Jika dalam keadaan sekarang sistem persekolahan menghendaki peperiksaan awam seperti ini, gejala malas ke sekolah dan ponteng menjadi lumrah, apakah dengan tidak ada peperiksaan awam, gejala ini akan bertambah baik.

Itu antara hujah mudah yang dilontar dan terdapat pula yang mahukan, UPSR dikekalkan tetapi PMR dimansuhkan, juga dengan alasan masing-masing. Pada masa sama ada yang memilih untuk bersetuju supaya kedua-duanya dimansuhkan dengan menyokong hujah seperti sistem persekolahan dan pelajar terlampau dibeban untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Atau kita perlu memikirkan pilihan lain, misalnya, jika kita merasakan sistem peperiksaan tidak menambah kebaikan kepada pembangunan dan pembentukan pelajar serta kemajuan negara, maka suatu perubahan dan pembaharuan perlu dilakukan kepada sistem peperiksaan. Persoalannya, apakah perubahan yang mahu dilakukan.

tetapi ramai yang menyatakan bahawa, terlalu banyak perubahan dan pindaan dalam pendidikan negara sehingga anak-anak menjadi mangsa kepada ujikaji perubahan itu, dan perubahan seolah-olah seperti menukar maju - bila orang politik yang menerajui kementerian berkaitan berubah, maka ada sesuatu yang dilakukan atas nama perubahan dan pembaharuan.

Dalam hal ini, sekali lagi, kita sebagai masyarakat madani perlu memikirkan, apakah keperluan dan kewajaran jika ia dimansuhkan, atau jika mahu dikekalkan, apakah pemantapan yang perlu dilakukan, atau, kita kekal dengan keadaan yang ada. Sebab selama ini pun apa yang terhasil dan ada di depan mata juga merupakan hasil daripada sistem peperiksaan.

Wednesday, May 26, 2010

Keperluan nuklear negara


Ketika kerajaan membayangkan untuk memiliki loji nuklear sendiri, ternyata mencetuskan pelbagai reaksi, sama ada menyokong dan menentang. Namun, penelitian mendapati, lebih ramai yang menentang dan dengan alasan yang sememangnya sudah dijangkakan - iaitu soal keselamatan, dan isu ini dikaitkan dengan insiden Chernobyl, bekas Kesatuan Soviet.
Hakikatnya, ia merupakan insiden malang dan menjadi trauma panjang kepada manusia sejagat, malah Malaysia sendiri. Melihat kepada insiden tersebut, tentunya, banyak pengajaran yang diperoleh jika kita di Malaysia mahu mempunyai loji sendiri. Ya, sememangnya, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi sama sekali dan setiap negara yang membabitkan diri dalam penghasilan tenaga nuklear melakukan prosedur keselamatan paling tinggi dengan kesilapan dan kecuaian sifar.
Apakah Malaysia memerlukan nuklear untuk keperluan tenaga pada masa akan datang? Apabila kita mengambil kira simpanan minyak dan sumber tenaga lain seperti hidro elektrik, maka alternatif paling dekat dan berkemampuan menampung permintaan yang tinggi pastinya tenaga nuklear.
Namun, sikap awal memperlihatkan ramai yang tidak senang dengan penggunaan tenaga nuklear, terutamanya mendirikan loji kerana kebimbangan malapetaka, misalnya jika berlaku kebocoran. Tetapi apakah ketakutan ini perlu menguasai diri kita selama-lamanya sehingga kita terus jumud dan ketakutan? Jawapan kepada ketakutan itu tentunya memerlukan kita mengusahakan alternatif lain, tetapi apakah yang terbaik, cekap dan tidak meninggalkan kesan kepada alam sekitar.
Bagi sebilangan orang, kenapa tenaga tidak sahaja dijanakan melalui air (membina sempangan) atau tenaga solar dan mungkin angin. Ia nampak mudah dan mesra alam tetapi berapakah keupayaan dan berapa besarkan alam sekitar diperlukan untuk menghasilkan tenaga untuk menampung keperluan.
Kita mungkin terlalu bimbang ancaman radiasi dengan gambaran yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki, juga Chernobyl, tetapi kita tidak pernah berasa terlalu takut dengan kerosakan alam yang dijana oleh bahan bakar fosil.
Sama ada mahu atau tidak suka, kita tidak mempunyai banyak pilihan selain daripada memilih tenaga nuklear, atau paling tidak pun kita perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu berkaitan penghasilan tenaga nuklear yang antara lainnya melibatkan proses pengayaan uranium. Pastinya, aspek penting dalam perkara ini adalah menguasai teknologi dan kita tidak boleh ketinggalan dalam hal ini.
Persoalan keselamatan pula kita boleh belajar daripada kelemahan era komunis Soviet dan yang jelas semuanya berlaku akibat kelemahan manusia selain daripada aspek kewangan, sedang banyak negara lain membangunkan teknologi nuklear mereka sehingga ke tahap pemprosesan uranium tahap tinggi tanpa mengabaikan serta memberi jaminan tanpa tolaransi bahawa tidak akan kecelakaan yang berulang.
Pada akhirnya, kita akan menentukan sendiri keperluan kita dalam penggunaan tenaga nuklear, membuat pilihan yang terbaik sama ada memilih untuk memajukan teknologi nuklear atau bersikap, tidak perlu selagi isu keselamaan menjadi hambatan.

Wednesday, May 19, 2010

Melahir Guru Cemerlang


Saban tahun sempena Hari Guru, pasti akan diadakan majlis menyampaikan anugerah kepada guru-guru yang diangkat sebagai cemerlang, pastinya, pengiktirafan itu dibuat berdasarkan penilaian kepada pencapaian di dalam kelas dan luar kelas.

Hakikat ini menunjukkan betapa profesion perguruan yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan perubahan, amat penting apatah lagi apabila menghubungkaitkannya dengan usaha dan tugas membentuk dan melahir generasi yang diasuh dan terdidik.

Namun tantangan dan keperluan semasa memerlukan guru dan profesion ini sentiasa berubah sesuai dengan keperluan dan tuntutan zaman. Tuntutan ibu bapa terhadap pencapaian dan pendidikan anak mereka misalnya, tidak sama seperti guru ketika zaman penjajah atau semasa awal kemerdekaan. Ketika itu, guru digeruni dan dihormati dengan kuasanya terhadap murid dan pelajar boleh dianggap tinggi termasuk merotan.

Tentunya, keadaan itu tidak sama dengan hari ini, apabila kelebihan dan keistimewaan guru itu sudah tidak relevan dengan masa, maka cabaran dan beban tugas guru juga berubah, lantas untuk memenuhi cabaran dan beban itu, guru dan profesion pendidik juga seharusnya melalui fasa perubahan mengikut keperluan semasa.

Pastinya juga, pihak kerajaan, jabatan, ibu bapa, murid dan pelajar juga masyarakat sentiasa mengharap, para pendidik dapat menyumbang sesuatu demi kecemerlangan generasi yang dilahirkan oleh sistem pendidikan dan kerjaya guru ini. Dalam keadaan seperti ini, pastinya, cabaran dan beban yang menjadi tekanan juga amat besar untuk dipikul, tetapi apakah guru mampu melakukannya.

Maka, mungkinkah suatu hari nanti tidak ada stigma kerjaya perguruan ini menjadi pilihan terakhir selepas tidak ada "kerjaya lain" yang diberjaya dicapai, lalu mereka memilih untuk menjadi guru. Atau, dengan hambatan pelabagi kerenah dan masalah di sekolah, guru kita sekadar menjadi orang makan gaji, yakni bekerja untuk mendapat wang gaji, tanpa roh dan jiwanya.

Apa-apa kerjaya yang dilakukan tanpa roh dan jiwa tidak akan menjadi suatu yang melahirkan kecemerlangan, sama ada pada guru, dan pastinya murid dan pelajar. Hakikatnya, kerjaya guru memang memerlukan kecemerlangan bukan sekadar di kalangan seorang dua guru sehingga melahirkan seorang tokoh, tetapi demi kejayaan seluruh generasi, maka seluruh warga pendidik perlu menjadi guru cemerlang.

Selamat Hari Guru!

Thursday, May 13, 2010

Pasir sungai dan alam sekitar


Atas nama pembangunan, pasir sungai telah dilombong. Barangkali, inilah tuntutan pembangunan dan tentunya, tidak ada bahan ganti lain yang sesuai untuk menggantikan pasir dalam pembinaan. Hakikatnya, ada suara dan pandangan mengenai kegiatan ini yang didakwa memberi kesan kepada alam sekitar, atau lebih tepatnya, kerosakan alam sekitar seperti hakisan sungai dan tebing sungai runtuh yang menjejaskan kehidupan.

Sekali lagi, apakah ini isu besar yang mencetuskan kerisauan? melihat kepada sentimen semasa, jelas sekali isu melombong pasir tidak begitu diperkatakan, sedangkan sekala kesannya kepada alam sekitar pada suatu hari nanti pasti besar, apatah lagi, Malaysia sebagai negara membangun memerlukan pasir dalam pembinaan.

Di sesetengah negeri seperti Selangor, kegiatan melombong pasir mencetuskan pelbagai polemik, termasuk integriti politik dan pentadbiran awam, namun persoalan alam sekitar tidak dapat diketepikan memandangkan kegiatan ini juga tidak jauh daripada penempatan manusia.

Bagi sesetengah negeri pula, melombong pasir mungkin dilakukan untuk tujuan mendalamkan dasar sungai dan tidak begitu tinggi tekanan untuk tujuan pembangunan, tetapi apakah negeri-negeri yang mempunyai sungai-sungai yang besar dengan sumber pasir yang kaya tidak boleh dimanfaatkan oleh negeri yang terhad bekalannya seperti Selangor dan negeri Sembilan.

Memperkatakan pembangunan dengan alam sekitar merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan tetapi sudah menjadi hukum alam pula, alam sekitar menjadi taruhan dan mangsa. Apakah ini disebabkan bahawa kita melebihkan pembangunan berbandung alam sekitar dan keselesaan alam yang didiami? Tidak bolehkan kita sebagai manusia dan peminjam alam ini menjadi lebih berhemah dan bertanggungjawab dengan melakukan sesuatu demi memastikan alam sekitar lebih terjaga, atau paling tidak terkawal. Aktiviti mengorek pasir sungai ini tidak pernah dilihat sebagai suatu isu yang besar, tetapi kita perlu melihat ke depan dan menjangkakan sesuatu yang tidak baik daripada kegiatan manusia.


Monday, May 3, 2010

Belia Dan Cabaran Semasa


Belia secara takrifnya berumur antara 17 hingga 40 tahun. Satu julat umur yang besar yang mengumpulkan satu kelompok yang sangat signifikan dalam sesebuah masyarakat. Apabila kita memerhatikan masayarakat kita pada hari ini, maka sebahagian besar permasalahan dalam masyarakat bahkan negara kita hari ini adalah masalah yang melibatkan golongan belia.


Mari kita senaraikan beberapa contoh masalah yang selalu kita dengar. Masalah gejala sosial, seks bebas luar nikah, rempit dengan pelbagai aksinya, masalah budaya lepak, kes-kes jenayah seperti rogol dan jenayah-jenayah seksual yang lain kebanyakannya melibatkan golongan ini. Gejala hiburan berlebihan, tidak serius, membazirkan masa, juga melibatkan golongan belia. Masalah kekurangan kualiti tenaga kerja, pengangguran, kegagalan memenuhi pasaran pekerjaan dan kegagalan dalam akademik juga melibatkan golongan belia. Malah bagi saya, permasalahan kurang cemerlangnya pencapaian negara dalam bidang sukan juga adalah isu belia.


Menjadi salah seorang belia hari ini, kita tertanya-tanya, kenapa segala ini berlaku kepada generasi belia hari ini dan di manakah punca silapnya. Bukan untuk menunding jari mencari salah silap sesiapa, tetapi untuk cuba mencari penyelesaiaannya bersama. Mengenalpasti punca masalah adalah sebahagian daripada usaha ke arah menyelesaikan sesuatu masalah itu. Kenapa negara kita dan masyarakat kita gagal melahirkan generasi belia yang benar-benar berkualiti?

Lalu apakah agenda yang akan menjadi penggerak (motive for action) generasi belia hari ini. Mereka lahir merdeka, kebanyakannya hidup senang dan tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan? Bagaimana untuk menanamkan daya juang kalau sememangnya tiada lagi istilah perjuangan dalam hidup mereka? Bagaimana mengajar belia supaya sanggup bersusah kalau semua perkara mereka perolehi tanpa perlu bersusah payah? Lalu dalam situasi ini ke manakah dihalakan tenaga yang banyak yang ada pada belia? Ke manakah dicurahkan segala kemampuan untuk belajar sesuatu yang baru yang ada pada belia? Ke manakah diletak semangat yang tinggi yang ada pada belia?



Semua pihak (masyarakat, agensi kerajaan, agensi swasta dan badan-badan bukan kerajan) berperanan membimbing dan mengasuh belia menjadi mahir dan berjasa kepada negara dan bangsa. Belia yang berkemahiran pasti memberikan jasa kepada negara dan bangsa tanpa mengira tahap pendidikan mereka.

Tuesday, April 27, 2010

Pengupayaan Tenaga Kerja Muda


Selamat menyambut Hari Pekerja. Tatkala melalui tarikh 1 Mei ini, ada eloknya kita memikirkan perkara selain daripada soal berapa gaji yang dibayar, misalnya, kesediaan dan tahap tenaga kerja di negara in, terutamanya di kalangan generasi muda.

Antara penekanan dalam Model Ekonomi Baru (MEB) adalah menyediakan rakyat negara ini ke arah ekonomi prestasi tinggi, yang bermakna menuntut tahap tertentu dan baru dalam kecekapan pekerja di negara ini. Rasional penekanan kepada tenaga kerja muda adalah kerana golongan ini merupakan landskap sebenar kepada pembangunan ekonomi dan modal insan yang akan dilaksanakan demi mencapai status negara maju.

Persoalannya, apakah generasi muda negara ini, dengan persekitaran sosial, budaya, pendidikan dan politik sudah bersedia untuk menjadi kuasa tenaga kerja menggalas tanggungjawab sebagai pekerja prestasi tinggi dan membuka lembaran baru perekonomian negara.

Demi membangunkan barisan tenaga negara bagi memenuhi tuntutan tenaga kerja MEB, apakah langkah terbaik dan tuntas dan bersediakah rakyat negara kita mengambil alih semua sektor pekerjaan dalam semua sektor dan tidak bergantung harap kepada orang luar? Tidak dinafikan, rakyat negara ini sudah ada yang menempa nama dan kejayaan dalam bidang pekerjaan masing-masing sehingga menjawat jawatan penting, sama ada dalam mahupun luar negara, tetapi bagaimanakah kejayaan ini dapat dimanfaatkan dalam persekitaran yang lebih besar dan luas.

Persoalan yang perlu difikirkan, apakah kita mempunyai keupayaan untuk berubah dan boleh dibentuk menjadi pekerja yang berupaya bergerak dalam pasaran kerja yang memerlukan kemahiran tinggi dan khusus?

Pada masa sama, apakah institusi pendidikan dan latihan pekerjaan negara ini bersedia dan mampu melahirkan barisan tenaga kerja bagi memenuhi aspirasi melahirkan tenaga kerja tahap tinggi?

Bersama kami menonton U-wartawan membincangkan topik Pengupayaan Tenaga Anak Muda pada 3 Mei, pukul 5.31 petang.

Tuesday, April 20, 2010

Fenomena Buang Zuriat


Mungkinkah masalah dan persoalan ini merupakan suatu warisan sepanjang zaman? Mengapa tidak kerana masalah buang bayi sudah bertahun-tahun diperkatakan dan jika dikira secara matematik, bilangannya semakin meningkat sehingga dikatakan mencetuskan kegusaran.

Apakah ini merupakan satu penyakit zaman moden yang kini menunjukkan tanda kronik atau ini satu lagi persoalan takdir, atau kita mengatakan, masalah buang anak ini berlaku disebabkan pelaku lebih menurutkan kata hati dan gelora nafsu, bukan akal dan jauh sekali nilai moral dan hukum agama.

Perkara yang turut mencetuskan lagi rasa gundah adalah pembuangan bayi yang dulu jarang sekali membabitkan kematian, kini memperlihatkan kecenderungan begitu banyak anak-anak yang baru lahir ini tidak bernyawa. Lalu apakah hukuman setimpal untuk golongan ini - mungkinkah penjara seumur hidup atau hukum gantung sampai mati kerana melakukan pembunuhan dan menyebabkan pematian? Lantas bagaimana pula pasangannya yang mungkin sudah lama menghilangkan diri untuk tidak mahu bertanggungjawab.

Juga, apakah kita mengatakan si pelaku itu kejam apabila dia menjadi mangsa serangan seksual, misalnya dirogol hingga mengandung, dan perogolnya pula masih bebas atau sekadar meringkuk dalam penjara, sedang mangsa rogol ini berdepan dengan aib.

Ini merupakan dua fenomena jelas yang dipisahkan oleh garis noral berbeza tetapi ia menjadi menjadi garis bawah besar kepada masalah pembuangan anak. Apakah masyarakat boleh lakukan atau sekadar menjatuh hukum dengan mengatakan, betapa rosaknya akhlak sebahagian anggota masyarakat ini.

Atau, apakah kita mahu berkata begini, berani buat berani tanggung.

Dalam konteks masyarakat pelbagai adat, budaya dan yang paling pentingnya agama, krisis pembuangan anak ini menjadi lembaran yang berlapis-lapis dengan standard sendiri bahawa dalam suatu kelompok, melahirkan anak luar nikah bukan merupakan suatu kesalahan moral dan agama yang begitu berat dan status anak ini lahir tidak pernah dipersoalkan.

Bagaimana pula dalam konteks masyarakat Islam, bagaimana kita mahu melihat situasi ini tidak dalam pengertian dan pemahaman dosa semata-mata, bahawa yang salah tetap salah dan menerima hukumnya, sama ada hari ini atau kemudian, sedangkan, apakah anak yang baru lahir itu perlu menjadi korban.

Tentunya, melihat kepada perkembangan hari ini dan menilai sejarah pembuangan anak ini, sesuatu perlu dilakukan, tidak cukup sekadar pendidikan agama dan keteguhan iman kerana sesetengah kes memperlihatkan teori dominonya dengan kesan hujungnya adalah membuang anak.

Lantas, adakah anda mempunyai kepercayaan atau tafsiran lain terhadap persoalan ini?

Tuesday, April 13, 2010

MEB: Perspektif Anak Muda


Model Ekonomi Baru yang diumumkan baru-baru ini merupakan suatu anjakan dalam pemikiran pembangunan negara selepas Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan selama empat dekad. Ia dikatakan suatu landasan baru dalam mengerakkan pembangunan dengan cara dan kerangka berbeza sesuai dengan keperluan semasa.

Ia bukan persoalan mewujudkan suatu suasana ekonomi domestik tetapi turut menyediakan negara untuk terus berdaya saing pada tahap kecekapan tertinggi sesuai dengan pengisian untuk menjadi sebuah negara maju.

Beberapa isu yang dibangkitkan seperti perangkap ekonomi pertengahan memperlihatkan negara dalam situasi yang sukar apabila berada di dalam keadaan yang sukar apabila bersaing dengan negara maju dan ekonomi nilai tinggi, sedang pada masa sama tidak dapat bersaing secara cekap dengan negara yang baru membangun.

Persoalan yang dibangkitkan ini merupakan sebahagian daripada permasalahan dan penyelesaian yang perlu ditangani dan dicapai, dan sebagai anak muda, adakah anda mempunyai pemikiran yang lebih tajam dan bernas dalam menjawab MEB. Bagaimana anda mahu menterjemah suatu idea dan pemikiran di atas kertas menjadi suatu yang mampu laksana.

Selama ini anak muda, khususnya generasi muda masa kini dikatakan memiliki pendedahan dan keberanian menyuakan pandangan, lantas bagaimana MEB dilihat melalui pemahaman anak muda kerana model ini juga merupakan masa depan mereka.

Jika anak muda hari ini masa depan negara, maka model ini merupakan satu asas untuk mereka mengukuhkan asas ekonomi dan memperteguhkan diri untuk bersaing dalam negara dan juga antarabangsa. Atau jika benar, anak muda mempunyai pemikiran analitikal dan kritis, maka mereka perlu berupaya mencambah pemikiran dalam memberi tafsiran kepada MEB dan mengambil model ini untuk manfaat diri dan menggilap upaya diri.

Zaman untuk kita disuap dan disogok dengan pelbagai bantuan dan subsidi perlu dikikis dan dibuang kerana cabaran masa akan datang memerlukan manusia yang berdaya saing atas nama merit dan kompetetif.

Atau anda, sebagai anak muda masih mencari sesuatu dalam MEB ini yang perlu ada dan wajib ada.

Tuesday, April 6, 2010

Pengurusan Sumber Air


Apakah yang kita akan fikirkan semasa menggunakan air di rumah - penggunaan membazir, bil air murah atau sepatutnya percuma - atau adakah kita memikirkan faktor lestari sumber air dan segala proses berkaitan sehingga air itu sampai ke rumah atau tempat kerja kita.


Atau kita mungkin mengatakan air yang dikatakan sudah diproses dan dirawat masih berkeladak dan tidak selamat diminum?


Namun, perkara yang wajar diberi perhatian adalah aspek berkaitan sumber air, yakni bagaimana kita mengurus, dan lebih penting adalah cara kita memelihara sumber air. Ini bukan soal sumber yang tercemar semata-mata, tetapi merangkumi kelangsungan sumber itu untuk hari-hari mendatang, memandangkan cabaran terbesar pada masa akan datang bagaimana sumber air boleh diterima oleh pengguna sama ada domestik, industri, pertanian dan semua kehidupan yang memerlukan air.


Tantangan hari ini adalah bagaimana untuk memastikan sumber air sentiasa tersedia dan dalam kuantiti yang amat besar untuk menampung seluruh kehidupan di atas muka bumi ini. Kebimbangan pada masa akan datang apakah manusia mampu melestarikan sumber air atau kita akan berperang sesama sendiri untuk berebut bekalan air.


Pada hari ini, apakah yang apakah yang kerajaan lakukan untuk mengurus sumber air dan apakah mencukupi sumber air untuk menampung keperluan. Kita tidak boleh menyalahkan pengguna membazir semata-mata sedangkan pada banyak sektor terdapat kelemahan yang ketara, yakni berlaku ketirisan yang cukup mencetuskan rasa gundah.


Beberapa gerakan berupa kempen yang dijalankan tidak lebih merupakan kerja perhubungan awam, sedangkan sama seperti keperluan lain di atas bumi ini, banyak desakan akibat hambatan bahawa bekalan air masa depan semakin terancam seperti Sungai ganges mungkin kehilangan sumber airnya apabila glasier di Banjaran Himalaya semakin mencair pada kadar yang terlalu cepat, atau bumi semakin kering apabila air di atas tanah tersejat ke udara pada kadar yang amat pantas.


Ini permasalahan yang tidak boleh diletakkan mengikut lagu bangu oh bangau, tetapi memerlukan suatu penyelesaian secara menyeluruh, bermakna satu sektor tidak boleh digerakkan, atau tidak memadai untuk mencari penyelesaian secara tuntas.


Persoalannya, apakah kita akan menemui penyelesaian tuntas itu, atau masalah air akan menjadi satu lagi wabak masalah? Apa kata anda pula.

Wednesday, March 31, 2010

Penyakit Makanan


Sebab mulut badan binasa - mungkinkah ungkapan ini sesuai apabila menggambarkan apa yang dimakan memberi kesan buruk kepada kesihatan fikiran dan badan kita, atau sebenarnya, seperti "lori bandar raya" kita telan semua makanan dan minuman asalkan boleh masuk dalam perut sehingga kekenyangan yang amat sangat.
Dewasa ini, barangkali disebabkan oleh ekonomi yang lebi baik, khususnya masyarakat bandar, ramai yang tidak begitu ambil kisah tentang apa yang hendak dimakan atau diminum, yakni, mereka makan ikut nafsu tanpa mengambil kira apakah makanan dan minuman yang diambil itu berkhasiat atau tidak, asalkan boleh bayar.
Juga, hidup mengejar masa menjadikan kita selalu hendak cepat dan hendak mudah dan alternatif kepada keburuan hidup ini adalah, makanan dan minuman segera. Inilah tabiat pemakanan sebahagian daripada anggota masyarakat yang ditambah lagi dengan sogokan tarikan iklan yang pastinya menguja nafsu makan kita, maka jadilah kita seperti ini, tepuk dada tanya selera.
Masalah penyakit seperti diabetis, obesiti, darah tinggi dan seumpamanya tidak pernah menjadi suatu yang perlu dipeduli melainkan apabila sudah menjadi sebahagian daripada hidup dan pada ketika itu ia umpama, "sayang semuanya sudah terlambat."
Malah soal makanan dan minuman juga ditekankan dalam agama, menunjukkan peri pentingnya makanan kerana ia menjadi darah dan daging kita, akan menentukan sifat dan perangai kita, dan ini belum mengambil kira penyakit, kesakitan dan derita yang ditanggung.
Persoalannya, sejauhmanakah kesedaran kita terhadap pemakanan, menentukan apa yang hendak dimakan ikut keperluan dan tidak berlebih-lebihan, sentiasa berhemah dan peka kepada makanan yang mahu dimakan. Apakah kita berfikir terlebih dahulu semasa memilih makanan dan membuat pertimbangan sewajarnya.

Monday, March 22, 2010

MENGURUS JURANG PENDIDIKAN


Salah satu perkara yang dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muyhiddin yassin semasa keputusan peperiksaan SPM dan STPM diumumkan lalu adalah jurang perbezaan pencapaian sekolah bandar dan luar bandar. Hakikatnya, perbezaan dalam pencapaian tersebut bukanlah suatu yang baru dan memperlihatkan terdapat pengagihan pendidikan yang ketara.


Perbezaan pencapaian itu juga membayangkan adanya perbezaan-perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus membayangi segala keciciran dalam keputusan peperiksaan dan prasarana, dan apakah jurang itu boleh dirapatkan atau ia sebenarnya semakin melebar. Apakah punca membawa kepada timbulnya senario tersebut - mungkinkah faktor geografi menjadi suatu hukuman kepada anak-anak luar bandar mendapat pendidikan terbaik, atau sistem pendidikan sendiri gagal berfungsi dengan baik untuk memberikan hak sama rata dalam pendidikan.


Tetapi apakah sekolah luar bandar dan murid-muridnya merupakan golongan yang tercicir disebabkan mereka lahir sebagai orang yang hidup dalam ketinggalan, atau mereka tidak mendapat yang terbaik untuk maju dan bersaing dengan rakan sebaya di bandar. Hakikatnya juga, ramai anak-anak luar bandar terpencil yang berjaya dalam pendidikan dan kini menjawat kedudukan tinggi dalam kerjaya masing-masing.


Anda sebagai warga Malaysia yang prihatin dan berpengalaman juga tentunya dapat melihat perbezaan antara pendidikan bandar dan luar bandar, antara murid sekolah terpencil dengan murid sekolah bandar yang menggambarkan seolah-olah wujudnya dua darjat dalam pendidikan. Apakah yang anda anggap menjadi penunjuk jelas kepada senario sekolah luar bandar yang terciri - mungkinkah keputusan peperiksaan atau kemudahan prasarana sekolah?


Pada masa sama, apakah saranan dan pandangan yang boleh digunakan untuk mengurus jurang pendidikan supaya tidak berlakunya jurang ketara yang bermakna menafikan sekumpulan anak warga dengan sekumpulan lain yang dianggap bertuah di bandar. Juga apakah peranan guru, ibu bapa dan pihak berkuasa dalam memastikan sistem pendidikan yang setara untuk semua tanpa mengira kedudukan geografi?


Monday, March 15, 2010


SEBAIK saja seorang anak dilahirkan ke dunia, pertama dan paling utama diperlukan ialah dapat menghuni di sebuah rumah yang selamat dan terjamin serta bebas daripada keganasan di samping, mempunyai ibu bapa menyayangi dan melindunginya.Hakikatnya, dalam usia masih belum mengerti apa-apa, setiap kanak-kanak memerlukan rutin kehidupan yang stabil supaya apabila berlaku sebarang kucar kacir dan tidak diduga di dunia luar, rumah masih menjadi tempat paling selesa, selamat serta sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Namun, dalam dunia hari ini tidak semua kanak-kanak mengecapi semua itu. Setiap tahun, beratus-ratus daripada berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia terdedah kepada keganasan rumah tangga di dalam rumah. Bagaimanapun, setiap hari berjuta-juta kanak-kanak berdepan dengan keganasan. “Kanak-kanak menjadi mangsa keganasan fizikal, psikologikal dan penderaan seksual di rumah, sekolah, institusi, di jalanan, situasi di tempat kerja, konflik undang-undang dan di mana-mana. Semua keganasan terhadap kanak-kanak tidak diterima tetapi sedihnya, keganasan dilakukan oleh orang dewasa yang diamanahkan menjaganya. “Keganasan berlaku di sebalik pintu rumah tertutup rapat yang juga sepatutnya, menjadi tempat paling selamat untuk kanak-kanak itu.

Kejadian seperti ini sudah tentu berlaku dalam diam dan satu bencana keganasan terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan di dalam rumah bukan saja dilakukan oleh ibu bapa kandung tetapi juga keluarga angkat atau ibu bapa tiri, datuk dan nenek, adik beradik, saudara mara, penjaga serta pengasuh dan jiran. “Lazimnya, keganasan terhadap kanak-kanak di rumah begitu sukar dikesan. Kejadian seperti ini kurang maklumat kerana kebanyakan keganasan di dalam rumah tidak dilaporkan.

Kanak-kanak terbabit mungkin menderita dan kesannya boleh jadi tidak begitu teruk atau boleh membinasakan masa depannya.Apa yang berlaku di depan mata mungkin turut menyebabkan kanak-kanak itu berasa rendah diri dan mudah terdedah dengan gejala sosial tidak sihat seperti pengambilan dadah dan alkohol. Kehidupan rutin dan normal yang perlu dinikmati dalam usia kanak-kanak. Khidmat sokongan diberikan bagi memenuhi keperluan mereka. Dididik bahawa keganasan rumah tangga adalah salah dan diajar cara yang tidak membabitkan keganasan untuk mengatasi konflik.

Orang dewasa bersuara dan membongkar apa yang berlaku. FAKTA Tindakan yang boleh dilakukan untuk menangani masalah kanak-kanak menjadi keganasan rumah tangga: Tingkatkan kesedaran kesan terhadap keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak. Wujudkan polisi awam dan undang-undang yang dapat melindungi kanak-kanak. Tingkatkan perkhidmatan sosial yang dikenal pasti ada kesan terhadap keganasan di dalam rumah ke atas kanak-kanak.

Monday, March 8, 2010

Ancaman Malar Aedes


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 2.5 bilion atau dua perlima penduduk dunia berisiko tinggi menghidap demam denggi. Badan antarabangsa itu menganggarkan, terdapat kira-kira 50 juta kes jangkitan denggi dilaporkan berlaku di seluruh dunia pada setiap tahun.

Malaysia tidak terkecuali daripada wabak penyakit yang mampu meragut nyawa
itu. Menurut laporan Kementerian Kesihatan baru-baru ini, Malaysia mengalami
peningkatan 71 peratus kematian akibat denggi dan 55 peratus jangkitan penyakit itu daripada bilangan kes pada tahun 2006.

Antara 1 Januari dan 26 Mei 2007, sejumlah 20,658 kes demam denggi dan 48 kematian disebabkan denggi telah dilaporkan di negara ini.Selain Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand juga mengalami peningkatan kadar jangkitan denggi yang signifikan.

Mengambil langkah mudah seperti menjaga kebersihan kawasan sekeliling, menukar air dalam bekas dan pasu atau menterbalikkan bekas-bekas yang menadah air mampu memberikan perubahan yang signifikan. Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini. Penyakit denggi merupakan penyakit berjangkit yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana sehingga hari ini belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini. Denggi boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.

Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar. Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga.

Terdapat 4 jenis ´serotype´ virus yang telah dikenalpasti iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis ´serotype´ ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap awal penyakit. Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu 1.5 kali berat badannya. Nyamuk aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.

Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa virus denggi iaitu, Aedes aegypt. Ciri-ciri nyamuk ini ialah tanda putih-perak bentuk kecapi di kepala. Nyamuk aedes aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas buatan di dalam dan di luar rumah.

Aedes albopictus. Ciri-ciri nyamuk ini pula ialah terdapat garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan. Nyamuk albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan dan menggigit manusia di luar rumah. Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk menggigit manusia. Disamping bekas buatan nyamuk ini juga boleh berkembang biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada pokok, tunggul pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas dan tempat air bertakung. Jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.


Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama lapan hingga sepuluh hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada terdapat dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain. Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil ´penularan mekanikal´. Selain itu, jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari di mana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya. Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit.

Nyamuk aedes membiak di dalam takungan air jernih sama ada di dalam dan luar rumah tetapi tidak boleh membiak di dalam air yang kotor. Bahagian dalam rumah ia dapat membiak di piring alas pasu bunga, tadahan air seperti kolah mandi, tempayan atau baldi dan perangkap semut. Manakala di luar rumah seperti di dalam tayar buruk, saluran air hujan, tin-tin kosong, kawasan pembinaan, cawan getah, lubang pokok, tungguk buluh, ketiak daun seperti, daun pandan dan nanas.

Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu Demam denggi klasikal. Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan ´demam patah tulang´ atau ´breakbone fever´.Seterusnya,Demam denggi berdarah. Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai ´demam berdarah Filipina´.

Demam denggi klasikal Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.

Demam denggi berdarah Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis(najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan. Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai ´Dengue Shock Syndrome´ (DSS). Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk membantu pesakit deman denggi ialah: Rawatan demam denggi klasikal: Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam(suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.

Rawatan demam denggi berdarah seperti demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ini menggambarkan darjah kehilangan plasma. Oleh hal yang demikian, orang ramai perlu lebih peka terhadap kawasan sekitar tempat tinggal mereka agar nyamuk ini tidak dapat membiak dengan membersihkan kawasan rumah dan membuang segala sampah sarap yang mungkin menjadi sarang nyamuk ini melakukan proses pembiakkan malah pihak berkuasa juga perlu memastikan setiap premis bebas daripada denggi

Wednesday, March 3, 2010

Mutu Piawaian Halal


Bagi kebanyakan umat Islam, isu halal atau tidak halal merupakan perkara sensitif, apatah lagi ia bersangkutan dengan "apa yang masuk ke dalam badan dan menjadi darah dan daging." Daripada sudut komersial, halal dilihat menjadi satu strategi perniagaan, terutamanya dalam perniagaan membabitkan makanan, tanpa tanda halal bermakna hilang pelanggan.

Bagaimanapun dalam dunia memburu kesenangan dan kejayaan dalam perniagaan, logo halal menjadi korban apabila disalahguna atau diperoleh secara mudah tanpa mengikut prosedur operasi yang ditetapkan. Terdapat beberapa contoh yang didedahkan dalam media menunjukkan bagaimana pengilang menggunakan logo halal yang boleh dibayar tetapi keadaan produk dan kilangnya sungguh menjijikkan. Apakah yang kita boleh lakukan dengan permasalahan ini selain daripada mendenda dan mengheret pihak tidak bertanggungjawab ini ke mahkamah? Menutup kilang mungkin salah satu pilihan.

Bagaimana pula kuasa yang ada pada Jakim dalam menguatkuasakan undang-undang halal, dan begitu juga sistem perundangan dan mekanisme teknikal yang ada dalam melaksanakan misi halal. Ini perkara yang perlu diselesaikan secara tuntas memandang, sejak sekian waktu kerajaan telah berusaha menjadikan Malaysia sebagai hab halal.

Kita harus bertindak tegas dan tanpa kompromi dalam isu halal ini supaya tidak diperlekeh atau diambil mudah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini, misalnya menggunakan tanda halal sewenang-wenangnya tanpa mendapatkan kelulusan dan mengikut prosedur halal, dan sijil dan pengesahan halal yang boleh diterima dalam negara ini juga perlu daripada satu pihak iaitu Jakim atau mana-mana badan yang diberi tangggungjawab pada masa akan datang.

Dewasa ini halal seolah-olah menjadi pameran perniagaan tanpa dapat dipastikan kesahihan statusnya dan ini sudah tentunya suatu yang amat mengganggu pihak berkuasa perlu bekerja dengan lebih kuat dan membawa suatu penyelesaian menyeluruh dan komprehensif berhubung perkara ini.

Sudah sampai masanya, piawaian halal ini menjadi suatu kemestiaan kepada semua pengeluar produk dan perkhidmatan sebagaimana mereka perlu mematuhi piawaian-piawaian lain seperti kesihatan dan keselamatan serta piawaian SIRIM, misalnya. Sewajarnya, selepas ini tidak ada pertikaian seperti yang dibangkitkan bahawa jika produk atau perkhidmatan itu diusahakan oleh orang Islam, maka ia sudah mematuhi piawaian halal kerana soal halal tidak terbatas pada bersihnya sesuatu produk atau perkhidmatan daripada unsur babi atau ayam, lembu, kambing atau binatang lain disembelih mengikut kehendak Islam semata-mata.

Wednesday, January 13, 2010

Perkongsian Dalam Pendidikan (Komuniti & Sekolah)


Pembangunan pelajar dan kecemerlangan sesebuah institusi sekolah tidak seharusnya sepenuhnya bergantung kepada faktor dalaman itu sendiri, di mana segala perhatian beralih kepada guru dalam menggalas tanggungjawab ini. Namun, Komuniti turut memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan pelajar. Dewasa ini, ramai yang sering menyalahkan pihak sekolah seratus peratus jika terdapat sebarang kesulitan atau masalah yang melibatkan pembangunan dan kecemerlangan pelajar sekolah.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa dengan kurangnya penglibatan secara menyeluruh daripada masyarakat luar, ibu-bapa, dan dunia korporat, ini secara tidak langsung akan turut memberikan kesan kepada pembangunan pelajar pada masa kini. Ada yang mengatakan bahawa komuniti sukar terlibat secara langsung dalam pembangunan pelajar di sebabkan oleh kekangan-kekangan tertentu seperti masa, dan sistem pentadbiran sekolah yang tidak aktif dalam melibatkan penyertaan komuniti luar.

Secara keseluruhannya, ingin dikupas mengenai apakah kepentingan perkongsian di antara sekolah dan komuniti serta apakah bentuk-bentuk cabaran yang ada dalam mewujudkan perkongsian dalam pendidikan pada zaman ini bagi memastikan pembangunan pendidikan sejagat yang melibatkan semua pihak.

Tuesday, January 5, 2010

Merealisasi Malaysia Inovatif 2010.



Topik U-Wartawan pada kali ini akan berbincang mengenai Malaysia inovatif dan kreatif 2010 yang bakal menjadi topik dan isu utama sepanjang tahun ini. Inovasi membawa erti mengubah, dan memperbaharui yang berkait rapat dengan aktiviti mereka cipta sesuatu idea baru yang membawa kepada suatu transformasi yang berbeza daripada biasa. Inovasi di Malaysia masih lagi ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang melahirkan ramai pakar yang menjadikan sumber inovasi dan kreativiti sebagai salah satu faktor terpenting dalam sektor pembangunan negara. Sebagai contoh, pembangunan perisian Microsoft, bioteknologi dan teknologi canggih I-Phone dan alat perhubungan komunikasi lain dan sebagainya.

Oleh kerana sumbangan yang besar dan potensi yang boleh diaplikasikan oleh bidang ini, Baru-baru ini, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) telah mewar-warkan tahun 2010 sebagai tahun inovatif dan kreatif bagi menggalakkan masyarakat menceburi bidang ini dan menjadi penyumbang pembangunan negara. Selain itu, bajet 2010 yang diumumkan baru-baru ini turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang berasaskan bidang inovasi dan kreatif dalam negara.

Apakah bentuk cabaran yang bakal negara berdepan dalam merealisasikan matlamat ini memandangkan Malaysia masih dikira ‘baru’ dalam mempelopori bidang ini dan apakah pendekatan terbaik yang boleh diaplikasikan oleh semua pihak terlibat bagi melancarkan perjalanan kempen ini sepanjang tahun ini? Juga kongsikan, apakah kesan UTAMA yang bakal kita hadapi sekiranya negara ini tampil gah dalam mempelopori bidang Inovasi dan Kreativiti pada tahun ini?

Kongsikan di U-Wartawan, anda juga wartawan.