Thursday, September 3, 2009

Budaya Rumah Terbuka




Rumah terbuka sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini. Pada perayaan seperti ini, tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai generasi masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim kepada seluruh lapisan masyarakat. Bukan itu sahaja, malahan dalam majlis sebegini kita dapat memperkenalkan dan mengetengahkan pelbagai jenis makanan dan juadah, sekaligus masyarakat dapat berkongsi budaya dan adat masing-masing.

Topik U-wartawan kali ini akan membincangkan mengenai budaya rumah terbuka yang signifikan dalam perayaan masyarakat Malaysia pada hari ini. Budaya rumah terbuka sering dijadikan landasan terbaik untuk mengeratkan hubungan berlainan kaum, agama dan budaya. Budaya rumah terbuka juga dilihat dapat menjangkau perbezaaan dan perpaduan di antara kaum dan memenuhi tuntutan agama islam untuk mengeratkan silaturahim. Apakah objektif terbaik dan cara yang sesuai bagi mewarnai tradisi rumah terbuka sempena syawal ini?

Selain itu, apakah isu perpaduan yang timbul pada hari ini dapat diminimumkan melalui tradisi ini? Apabila kita lihat perpaduan yang semakin goyah, adakah dengan wujudnya tradisi rumah terbuka akan menjadi sebuah mekanisme mengukuhkan perpaduan di kalangan umat islam dan kaum di Malaysia? Mungkinkah tradisi ini boleh digunakan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan seIslam merentasi perbezaan ideologi politik, sosial, ekonomi dan kaum? Kongsikan pendapat anda di U-Wartawan. Anda juga wartawan.