Wednesday, March 31, 2010

Penyakit Makanan


Sebab mulut badan binasa - mungkinkah ungkapan ini sesuai apabila menggambarkan apa yang dimakan memberi kesan buruk kepada kesihatan fikiran dan badan kita, atau sebenarnya, seperti "lori bandar raya" kita telan semua makanan dan minuman asalkan boleh masuk dalam perut sehingga kekenyangan yang amat sangat.
Dewasa ini, barangkali disebabkan oleh ekonomi yang lebi baik, khususnya masyarakat bandar, ramai yang tidak begitu ambil kisah tentang apa yang hendak dimakan atau diminum, yakni, mereka makan ikut nafsu tanpa mengambil kira apakah makanan dan minuman yang diambil itu berkhasiat atau tidak, asalkan boleh bayar.
Juga, hidup mengejar masa menjadikan kita selalu hendak cepat dan hendak mudah dan alternatif kepada keburuan hidup ini adalah, makanan dan minuman segera. Inilah tabiat pemakanan sebahagian daripada anggota masyarakat yang ditambah lagi dengan sogokan tarikan iklan yang pastinya menguja nafsu makan kita, maka jadilah kita seperti ini, tepuk dada tanya selera.
Masalah penyakit seperti diabetis, obesiti, darah tinggi dan seumpamanya tidak pernah menjadi suatu yang perlu dipeduli melainkan apabila sudah menjadi sebahagian daripada hidup dan pada ketika itu ia umpama, "sayang semuanya sudah terlambat."
Malah soal makanan dan minuman juga ditekankan dalam agama, menunjukkan peri pentingnya makanan kerana ia menjadi darah dan daging kita, akan menentukan sifat dan perangai kita, dan ini belum mengambil kira penyakit, kesakitan dan derita yang ditanggung.
Persoalannya, sejauhmanakah kesedaran kita terhadap pemakanan, menentukan apa yang hendak dimakan ikut keperluan dan tidak berlebih-lebihan, sentiasa berhemah dan peka kepada makanan yang mahu dimakan. Apakah kita berfikir terlebih dahulu semasa memilih makanan dan membuat pertimbangan sewajarnya.

1 comment:

  1. satu lagi orang tempatan suka makan warong tepi jalan . tak peduli bersihpun. Punca air dari paip getah tumpang premis sebelah, pun tak kisah. kuman masuk tak peduli. Pekerja hidang nampak tangan kotor , kuku panjang, ada handiplast... tetaap makan. Buat buta

    ReplyDelete