Banyak isu dikaitkan dengan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan kelompok rakyat Malaysia yang berjumlah kira-kira 140 ribu orang ini sering disinonimkan dengan ketinggalan dalam setiap aspek kehidupan. Lantaran itu, ada yang mahu masyarakat ini mendapat layanan khusus bagi membolehkan mereka hidup sesuai dengan perubahan masa, malah, kerajaan mempunyai jabatan yang khusus bagi menguruskan hal-ehwal masyarakat ini.
Namun, selepas lama merdeka, masyarakat ini masih jauh ketinggalan berbanding masyarakat lain dan masih terdapat cakap-cakap mengenai keperluan khusus untuk masyarakat ini. Tetapi, persoalannya, layanan dan keistimewaan yang bagaimanakah untuk masyarakat ini? Kenapa pula usaha selama ini membawa masyarakat ini keluar ke arus perdana masih tidak berjaya. Mungkinkah kegagalan ini disebabkan kegagalan pentadbiran dan pembangunan yang diusahakan untuk mereka, atau sebenarnya, perlunya perubahan dalaman, yakni perubahan daripada masyarakat Orang Asli secara menyeluruh yang mampu mengubah landskap sosial, ekonomi, politik dan pendidikan mereka yang ketinggalan.
Bagaimana pula dengan stigma masyarakat lain yang selalunya memberi pandangan yang agak negatif atau rendah terhadap masyarakat ini? Ini merupakan perkara yang perlu dibuang. Tetapi bagaimana pula dengan masyarakat Orang Asli itu sendiri. Jika melihat dan menilai semula, hakikatnya, ramai Orang Asli yang berjaya dalam pelbagai bidang dan ini menunjukkan mereka boleh mencapai kejayaan seperti orang lain. Bermakna, mereka perlu keluar daripada lingkungan hidup dan pemikiran lama yang membelenggu, perlu bersikap dinamik dalam mencipta peluang dan kejayaan. Situasi ini memerlukan suatu anjakan paradigma bahawa tidak ada lagi kehidupan yang bergantung semata-mata kepada sumber alam sekeliling ketika mengamalkan hidup di dalam hutan atau kampung terpencil.
Untuk itu, masyarakat ini perlu bertindak secara kolektif untuk bergerak keluar daripada belenggu pemikiran lama dan pada masa sama, kerajaan dan masyarakat arus perdana perlu membuka ruang untuk Orang Asli menjadi rakan gandingan. Tidak perlu ada istilah khusus mengenai keistimewaan untuk mendapat bahagian, kerana ia tidak akan membantu masyarakat ini menjadi dinamik dan hidup tanpa bantuan.
Bagi membincangkan lagi kondisi dan masa depan masyarakat Orang Asli, U-Wartawan akan membawa topik Pengupayaan Orang Asli pada 24 Jun ini, pukul 10 malam.
No comments:
Post a Comment