Wednesday, September 14, 2011

Penganiayaan Haiwan



Selepas pulang beraya, ramai dikejutkan dengan insiden kucing-kucing mati dan terbiar tanpa penjagaan di tempat yang dinamakan "hotel" yang menjadi tempat berteduh sementara tatkala tuan masing-masing bercuti raya.



Apakah malangnya insiden Petknode ini yang mencetuskan kemarahan ramai, termasuk persatuan dan aktivis haiwan, sehingga pelbagai kata-kata kecaman dilemparkan bersama cemuhan dan makian. Dan sehingga ini, masih tidak dapat dipastikan, bagaimana dua pemilih boarding untuk haiwan peliharaan ini bertindak sedemikian, mengabaikan penjagaan ke atas kira-kira 300 ekor kucing seperti yang mereka dijanjikan. Pastinya, lebih tragik lagi apabila insiden ini membabitkan dua orang yang diketahui meminati haiwan peliharaan seperti kucing, malah mereka sudah terlibat dalam perniagaan berkaitan kucing sejak beberapa tahun.



Ini mencetuskan tanda soal kepada lingkungan aktivis dan pencinta kucing, apakah yang membawa kepada pengabaian dan penganiayaan yang begitu tragik.



Kita tinggalkan insiden dengan melihat kembali aspek penjagaan kucing atau haiwan peliharaan, yakni, bersedia dan layakkah anda memelihara dan menjaga haiwan peliharaan jika anda berhasrat. Ia persoalan yang perlu jelas dalam pemikiran dan memerlukan jawapan pasti sebelum anda mahu memelihara haiwan peliharaan. Malah lebih penting jika anda menjalankan perniagaan berkaitan dengan hotel atau boarding haiwan peliharaan kerana haiwan peliharaan mempunyai keperluan tertentu yang mengikut standard dan keperluan khusus. Jangan difikirkan, disebabkan ia haiwan yang tidak berakal, maka segalanya boleh diambil mudah atau sekadar buat. Perkiraannya begini. Apakah mungkin seekor kucing boleh tinggal terkurung dalam sangkar yang mungkin lebar dan tingginya hanya 30 sentimeter dan panjangnya mungkin 45sm? Pastinya, ia memerlukan ruang yang lebih luas untuk ia bergerak dan bermain dan memastikan kondisi emosinya tidak terjejas. Begitu juga perihal makan dan minum, ubat-ubatan dan juga belaian kasih sayang dan dimanja.



Kucing dan haiwan peliharaan jika dipelihara sewajarnya mendapat pembelaaan secukupnya dan tidak sewajarnya menjadi mangsa kerana ia "seekor haiwan" yang boleh diapa-apakan. Hatta jika ia hidup liar tanpa bertuan sekali pun, apakah kita sebagai manusia layak untuk menyakitinya? Jika anda tidak memelihara dan menjaganya, cukuplah jangan sampai anda tidak berlaku baik dan bersikap kejam terhadap haiwan itu.



Kembali kepada insiden Petknode, ia mungkin sebahagian daripada kekejaman dan ketidakadilan kepada haiwan peliharaan atau yang terbuang. Negara sewajarnya perlu melakukan sesuatu dalam memastikan hak seekor haiwan tidak dicabuli sewenang-wenang, dan pada masa sama, permasalahan daripada haiwan seperti kucing jalan dan anjing jalanan tidak menjadi penyakit pemandangan yang mengganggu kita. Apakah kita mempunyai polisi terbaik dalam perkara ini, atau kita terjebak sekali lagi dalam retorik menganiaya haiwan? Membiarkan haiwan-haiwan ini hidup dalam habitat liar juga memerlukan pengurusan yang baik dan tepat supaya tidak timbul dakwaan berlaku kejam seperti perihal menembak anjing liar.



Sebagai manusia, haiwan berakal, kita wajar memikirkan dan bertindak sebaik-baiknya...



Untuk kupasam lenih lanjut, saksikan U-Wartawan 16 September 2011, 10 malam yang membawa topik Penganiayaan Haiwan Kesayangan.

No comments:

Post a Comment