Wednesday, August 19, 2009

Mengekang Penularan H1NI


Angka ramalan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung penularan wabak H1N1 amat menggusarkan rakyat Malaysia. Angka sekurang-kurangnya lima ribu boleh maut tidak boleh dipandang ringan dan ia merupakan malapetaka kepada negara kita jika benar-benar seperti diramal.
Ketika negara lain berjaya membendung penularan virus ini, kenapa pula pendemik ini menjadi semakin buruk di Malaysia, dengan angka kematian yang semakin berkurang. Apakah rakyat kita tidak begitu mengambil peduli tentang kesihatan dan kebersihan diri sehingga begitu mudah digugat oleh virus, atau kerajaan gagal merangka pelan pencegahan terhadap penularan virus ini.
Lebih membimbangkan pula apabila penularan virus ini dijangka menemupuh gelombang kedua yang akan memberi kesan kesihatan buruk berikutan munculnya musim hujan yang dibawa angin timur laut. Sekali lagi, apakah rakyat Malaysia bersedia, sedangkan pada gelombang pertama kita menghadapi kepayahan mendepaninya.
Selain itu ketika, bagaimana pula penularan virus selesema H1N1 pada bulan Ramadhan ini? Mungkinkah ia akan mempengaruhi penularannya ke tahap lebih buruk sebelum gelombang kedua. Dan sebagai rakyat Malaysia, apakah yang kita lakukan untuk mencegah virus ini terus menular, atau kita sebenarnya mengambil sikap mudah atau sudah terhantuk baru terngadah tatkala nasi sudah menjadi bubur.
Sebahagian kes H1N1 dan kematian berkaitan dikatakan berpunca daripada sikap rakyat Malaysia berhubung kebersihan diri dan kepekaan terhadap gejala pendemik ini. Pastinya, ini memerlukan suatu anjakan baru dalam cara pemikiran dan bertindak rakyat Malaysia, selain kerajaan mengambil langkah lebih proaktif dan kreatif membendung penularannya.
Anda sebagai rakyat prihatin dan berpengetahuan dijemput memberi pandangan berhubung penularan H1N1 di negara ini, atau berkongsi pengalaman anda, keluarga, tempat kerja atau kejiranan anda dengan kami di U-Wartawan.

Thursday, August 6, 2009

Mengurus Kewangan Pesara


Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan dana pencen untuk pekerja swasta dan bekerja sendiri, langkah yang diharap dapat memberi jaminan kewangan kepada golongan ini ketika melalui usia tua.
Langkah ini diambil selepas kajian mendapati 70 peratus daripada pesara ini menghabiskan semua wang dalam KWSP dalam tempoh kurang tiga tahun, meletakkan para pesara terbabit berdepan krisis kewangan yang teruk dan hidup dalam kemiskinan.
Hakikatnya, 90 peratus daripada pencarum memiliki simpanan semasa usia persaraan kurang RM100,000, juga meletakkan golongan ini dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa terus bekerja pada usia tua.
Pengenalan dana pencen ini dijangka membaiki kedudukan sosial dan ekonomi pesara swasta untuk menempuh usia persaraan tanpa diganggu oleh masalah kewangan. Namun persoalannya, apakah modul terbaik kepada pelaksanaan dana ini.
Sebelum ini pernah diperkenalkan Skim Anuiti yang menggunakan dana KWSP pekerja untuk menjadi dana yang akan membolehkan pesertanya memperoleh bayaran pencen bulanan pada kadar tertentu ketika mereka bersara, tetapi dibantah kemudiannya.
Selain modul pelaksanaan, berapa kadar bayaran bulanan yang bakal diterima, apakah mungkin ia separuh daripada gaji akhir semasa bersara dan apakah pencen dibayar sepanjang hayat pesara dan bagaimana pula faedah untuk waris seperti dalam pencen kerajaan.
Lontarkan pandangan anda sebagai wartawan rakyat U-Wartawan.

Monday, July 27, 2009

Menilai Semula UPSR


Ada pihak mencadangkan, kenapa tidak dihapuskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), atau digubal semula untuk mengikut keperluan pendidikan dan rentak pembangunan negara. Bagaimanapun kerajaan berpandangan ia harus dikekalkan dengan pengubahsuasaian.
Keputusan UPSR yang menjadi tanda aras kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh pula mungkin tidak dipakai, sebaliknya dicadangkan supaya mengambil mengambil kira pencapaian pelajar sepanjang enam tahun di sekolah rendah.
Ada pihak pula berpandangan, sejak sekian lama sistem peperiksaan di sekolah kita terlalu memberi penekanan kepada aspek keputusan, bermakna markah maksimum menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan pelajar.
Melihat kepada keperluan pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar, masihkan UPSR ini relevan dengan keperluan pendidikan dan perkembangan mental dan jatidiri pelajar, atau sesuatu dilakukan secara menyeluruh terhadap sistem pendidikan, tidak sekadar terhadap ujian ini.
Hakikatnya, pelajar sekarang terlalu dibebani dengan tekanan supaya mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan sehingga meletakkan mereka dalam tekanan dan seluruh kehidupan harian mereka semata-mata untuk buku, guru dan tuisyen.
Persoalan yang perlu diambil perhatian adalah apakah UPSR merupakan mekanisme yang tepat untuk menilai pelajar dan membekalkan barisan pelapis yang memasuki sekolah menengah, peringkat universiti dan pekerjaan.
Persoalannya, apakah ujian ini perlu dihapuskan dan tidak perlu ada sebarang ujian yang berorientasikan keputusan, sebaliknya negara ada satu sistem persekolahan dan penilaian yang melahirkan pelajar yang cerdas dan kreatif pemikiran mereka.
Lontarkan pandangan dan cadangan anda untuk U-Wartawan pada 30 Julai ini. Anda semua wartawan rakyat.