Tuesday, September 8, 2009

Transformasi Pengangkutan Awam Lembah Klang




Ramai yang beranggapan masalah pengangkutan awam umpama tidak sudah, biarpun pelbagai langkah diambil. Kewujudan RapidKL diharap dapat menyelesaikan masalah pengangkutan awam di lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur. Persoalannya apakah perkhidmatan bas dan transit aliran ringan menjadi pilihan warga kota dan pengguna berasa cukup selesa dan cekap.


Pada 1 September lalu Syarikat Prasarana Negara yang bertanggungjawab terhadap integrasi pengangkutan awam di Lembah Klang telah memperkenalkan sistem tambang baru yang bersepadu, pada masa sama menubuhkan badan petugas khas yang meliputi pengguna untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan secara menyeluruh. Aspek tersebut meliputi perkhidmatan pengangkutan awam, pemandu dan kebajikan mereka serta keselesaan penumpang.


Mungkinkah langkah ini akan membantu ke arah membaiki perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan transit aliran ringan. Barangkali penanda aras terbaik ialah apakah pengguna sedia ada mendapat lebih kepuasan daripada perkhidmatan yang diberi sementara para pemandu pula bertukar kaedah pengangkutan untuk memasuki Kuala Lumpur dengan menaiki bas dan transit aliran ringan.


Sesuatu pembaharuan dan perubahan tidak memberi makna jika segala cakap-cakap mengenai keselesaan dan kecekapan perkhidmatan masih berlegar-legar dan membayangi kita selaku pengguna, pengurusan dan kerajaan. Atau apakah kita sebenarnya terlalu banyak melakukan eksperimen tanpa menemui hasil yang menjanjikan penyelesaian menyeluruh.


Masalah pengangkutan awam dan pilihan pengguna masih lagi berlegar apabila mereka lebih suka memilih untuk menaiki kenderaan sendiri dan pengangkutan awam sekadar menjadi pilihan golongan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri. Mungkinkah ini fenomenanya apabila kita tidak dapat melihat suatu rangka besar kepada penyelesaian menyeluruh, sedang kita hanya melakukan sesuatu dalam ruang lingkup yang bersifat kecil dan dibahagikan dalam banyak kotak - bermakna kita menyelesaikan satu masalah dan meninggalkan banyak masalah lain tanpa penyelesaian.


Melalui langkah terbaru Syarikat Prasarana dan RapidKL, mungkinkah ia menjadi laluan terowong menuju sistem pengangkutan awam membabitkan bas dan transit aliran ringan yang lebih tuntas, atau masih terus bergelumang dalam percubaan penyelesaian tanpa kesudahan.


Kongsikan pandangan anda kerana mungkin idea anda sebagai wartawan rakyat dan pengguna lebih membina?

6 comments:

  1. transformasi pengangkutan awam hanya boleh berlaku bila kita ada 'political will' untuk mengubah situasi kini. kita perlu ada: (1) Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPA) (2)seorang'champion' yang berpengaruh dan berpengalaman dalam pengangkutan awam.
    SPA pula perlu di beri kuasa dan mandat yang sesuai kerana buat masa kini ada pelbagai agensi yang mempunyai 'interest' dalam pengangkutan awam. Pandangan bahawa 'car restraint measures' tidak boleh dijalankan sebelum jaringan LRT dan bas dilengkapkan adalah tidak tepat. jaringan pengangkutan awam akan sentiasa berkembang, begitu juga dengan kadar milik kereta. Banyak yang boleh dilakukan tapi tiada 'political will' untuk melakukannya. Kementerian Pengangkutan(MoT) sebagai peneraju untuk mencapai NKRA juga tidak tepat kerana MoT tidak pernah ada motivasi, kepakaran atau pengalaman dalam memajukan pengangkutan awam. Tiada SPA, tiada'champion' untuk public transport, maka tiadalah transformasi pengangkutan awam

    ReplyDelete
  2. Pengangkutan awam masih belum menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,kerana infrastruktur yang ditawarkan masih di tahap yang rendah.Saya sendiri salah seorang dari rakyat, yang mana saya lihat pengangkutan awam perlu diberi satu jenama oleh kerajaan. Ini kerana tidak ada keseragaman di dalam kualiti pekhidmatan pengangkutan awam. Sebagai contoh, ada sesetengah pengangkutan awam mempunyai pendingin hawa, ada yang tidak ada. Malahan, pengankutan awam yang tidak mempunyai peningin hawa itu kadangkala tambangnya lebih mahal. Itu hanyalah satu contoh kelemahan pengangkutan awam. Banyak lagi masalah seperti keadaan kenderaan, layanan dari operator, kemudahan yang diberikan dll. Justeru, perkhidmatan pengangkutan awam perlu diseragamkan.

    ReplyDelete
  3. Pengankutan awam sebenarnya mampu memberi pelbagai faedah kepada manusia sejagat. dari segi pemuliharaan alam sekitar, penggunaan kenderaan awam mampu melestarikan alam sekitar dar segi pencemaran udara yang berlebihan.Bayangkan jika sebuah kereta melepaskan amaun tertentu lebihan bahan terbakar maka jika ada 40 orang membawa sebuah kereta oleh itu lebih banyak amaun bahan beracun yang dilepaskan ke udara. tetapi jika 40 org tersebut menaiki kenderaan awan seperti bas maka kita dapat membantu menyelamatkan bumi yang kita pinjam ini daripada tercemar.

    ReplyDelete
  4. Mengikut ranking Global Competitive Index 2009-2010 Malaysia berada di tempat 26 di summary index "2nd Pillar: Infrastructure". Singapura sebaliknya, negara yang kita selalu perkecilkan dengan menggunakan alasan "mereka kecil, boleh la" berada di ranking PERTAMA antara negara-negara di dunia yang mempunyai infrastuktur yang baik. Malaysia juga cuba menandingi Singapura, tapi malangnya dari pembelian kapal selam dari membelanjakan berbillion ringgit untuk menaik taraf system pengangkutan awam.

    ReplyDelete
  5. RapidKL telah membelanjakan berbillion ringgit membeli bas-bas semenjak penubuhannya tetapi masalah pengangkutan awam masih seperti dulu.

    Saya fikir mereka perlu merombak laluan-laluan mereka mengikut cara 'rapid transit' seperti Laluan Merah: Puchong - KL.Pada waktu puncak, ianya mestilah mempunyai kekerapan yang tinggi seperti setiap 5 minit. Jika tidak cukup bas, gunakan bas exspress/kilang untuk sementara waktu. Mereka perlu lepaskan perkhidmatan bas setempat kepada syarikat atau individu sebab perkhidmatan sediaada amatlah tidak cekap dimana masa menunggu sampai satu jam.

    Mereka juga perlu bina 'transit point' berbumbung yang mana penumpang tidak perlu berjalan jauh untuk menukar bas sebaliknya hanya menunggu di tempat yang sama.

    ReplyDelete
  6. apakah masalah sebenar pengangkutan awam kita sehingga ramai memilih untuk tidak menggunakannya dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas? kerana masa menunggu yang lama? kerana lebihan muatan terutamanya pada waktu puncak? kerana pengangkutan awam tidak selesa? kerana pengangkutan awam terutamanya bas dipenuhi oleh warga asing? kerana pemandu bas memandu laju? kita sendiri tidak pasti apa masalah sebenar kita. adakah apa yang disenaraikan ini cuma simptom kepada masalah sebenar, yang tidak kita ketahui dan sedar tentang kewujudannya?

    ReplyDelete