Wednesday, January 13, 2010

Perkongsian Dalam Pendidikan (Komuniti & Sekolah)


Pembangunan pelajar dan kecemerlangan sesebuah institusi sekolah tidak seharusnya sepenuhnya bergantung kepada faktor dalaman itu sendiri, di mana segala perhatian beralih kepada guru dalam menggalas tanggungjawab ini. Namun, Komuniti turut memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan pelajar. Dewasa ini, ramai yang sering menyalahkan pihak sekolah seratus peratus jika terdapat sebarang kesulitan atau masalah yang melibatkan pembangunan dan kecemerlangan pelajar sekolah.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa dengan kurangnya penglibatan secara menyeluruh daripada masyarakat luar, ibu-bapa, dan dunia korporat, ini secara tidak langsung akan turut memberikan kesan kepada pembangunan pelajar pada masa kini. Ada yang mengatakan bahawa komuniti sukar terlibat secara langsung dalam pembangunan pelajar di sebabkan oleh kekangan-kekangan tertentu seperti masa, dan sistem pentadbiran sekolah yang tidak aktif dalam melibatkan penyertaan komuniti luar.

Secara keseluruhannya, ingin dikupas mengenai apakah kepentingan perkongsian di antara sekolah dan komuniti serta apakah bentuk-bentuk cabaran yang ada dalam mewujudkan perkongsian dalam pendidikan pada zaman ini bagi memastikan pembangunan pendidikan sejagat yang melibatkan semua pihak.

1 comment:

  1. Perkongsian diantara sekolah dan komuniti merupakan satu idaman seluruh warga disesebuah negara. Kita tahu bahawa sekolah merupakan institusi terpenting dalam sesebuah negara untuk menghasilkan demografi yang positif.

    Contohnya masalah sosial pelajar-pelajar pada hari ini. Guru mengharapkan komuniti berganding bahu kerana mereka tidak mampu menanganinya. Komuniti pula menyalahkan guru-guru kerana pada pendapat mereka hanya guru-guru yang mampu mengubah pelajar. Maka dalam perdebatan yang tidak berkesudahan ini, apa yang terjadi ialah gejala sosial tersebut terus membesar.

    Sikap komuniti yang menyerah bulat-bulat tugasan mendidik kepada guru-guru menyebabkan masalah ini seperti tiada kesudahan. Bila bercakap berhubung soal pendidikan formal, benar, guru-guru bertanggungjkawab untuk memberi ilmu yang secukupnya kepada pelajar. Tapi perlu diingat, Falsafah Pendidikan Negara yang perlu dipikul oleh guru-guru ialah membentuk pelajar yang berketrampilan dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual.

    Membangun intelektual pelajar boleh dilaksanakan oleh guru kerana ia mampu diukur begitu juga dengan jasmani mereka. Tetapi amat sukar untuk membentuk emosi dan rohani pelajar secara bersendirian oleh para guru. Emosi dan rohani melibatkan latihan sebelum mereka menjejakkan kaki ke bangku persekolahan lagi.

    Contohnya, membuang sampah. Hal ini membabitkan emosi dan rohani. Sehingga kini kita dapat melihat para pelajar membuang sampah keluar dari tingkap bas sekolah yang berwarna kuning. Mengapa amat sukar untuk pelajar-pelajar ini memahami bahawa membuang sampah merata-rata adalah satu sifat negatif. Salah siapa? Tetapi jika komuniti semuanya menunjukkan teladan yang baik, maka anak-anak kita juga akan mengikut teladan yang baik.

    Terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan oleh komuniti untuk membantu pihak sekolah. Mereka tidak perlu melibatkan diri dengan pihak sekolah secara langsung tetapi boleh menyumbang melalui kaedah mendidik emosi dan rohani anak-anak dirumah secara tidak langsung. Menunjukkan contoh yang sebenar bagaimana tindakan sebagai seorang manusia yang murni dan mulia.

    Komuniti kita bertanggungjawab untuk membantu pihak sekolah mendidik anak-anak kita. Apa yang perlu dibantu ialah menunjuk contoh teladan yang baik. Cabaran yang dihadapi kini ialah bagaimana hendak membentuk permuafakatan komuniti secara total. Komuniti yang ingin terlibat terlalu sedikit berbanding mereka yang mengambil sikap lepas tangan. Keengganan mereka mungkin disebabkan oleh sikap yang mengatakan bahawa jangan campur tangan dalam hal anak orang lain. Jika begitu sebabnya, maka mengapa tidak mengambil tahu hal anak sendiri.

    Masalahnya, mereka merasakan bahawa anak mereka tidak bermasalah. Mereka mengambil sikap mudah bahawa anak mereka adalah anak yang baik. Contohnya mereka yang memakaikan anak perempuan mereka dengan tudung. Pada pendapat mereka, apabila anak mereka bertudung, maka secara automatik anak mereka menjadi baik. Silap!! ramai anak gadis yang bermasalah pada hari ini terdiri dari gadis bertudung.

    Kesimpulannya, semua ibu bapa yang membentuk komuniti ini perlu mengambil berat soal siapa anak mereka. Jika tidak mahu masuk campur dalam membentuk anak orang lain, sekurang-kurangnya bentuk lah anak sendiri. jangan disangka air yang tenang, tiada buaya.

    ikhlas,
    http://reformasimindaguru.blogspot.com

    ReplyDelete