Thursday, May 13, 2010

Pasir sungai dan alam sekitar


Atas nama pembangunan, pasir sungai telah dilombong. Barangkali, inilah tuntutan pembangunan dan tentunya, tidak ada bahan ganti lain yang sesuai untuk menggantikan pasir dalam pembinaan. Hakikatnya, ada suara dan pandangan mengenai kegiatan ini yang didakwa memberi kesan kepada alam sekitar, atau lebih tepatnya, kerosakan alam sekitar seperti hakisan sungai dan tebing sungai runtuh yang menjejaskan kehidupan.

Sekali lagi, apakah ini isu besar yang mencetuskan kerisauan? melihat kepada sentimen semasa, jelas sekali isu melombong pasir tidak begitu diperkatakan, sedangkan sekala kesannya kepada alam sekitar pada suatu hari nanti pasti besar, apatah lagi, Malaysia sebagai negara membangun memerlukan pasir dalam pembinaan.

Di sesetengah negeri seperti Selangor, kegiatan melombong pasir mencetuskan pelbagai polemik, termasuk integriti politik dan pentadbiran awam, namun persoalan alam sekitar tidak dapat diketepikan memandangkan kegiatan ini juga tidak jauh daripada penempatan manusia.

Bagi sesetengah negeri pula, melombong pasir mungkin dilakukan untuk tujuan mendalamkan dasar sungai dan tidak begitu tinggi tekanan untuk tujuan pembangunan, tetapi apakah negeri-negeri yang mempunyai sungai-sungai yang besar dengan sumber pasir yang kaya tidak boleh dimanfaatkan oleh negeri yang terhad bekalannya seperti Selangor dan negeri Sembilan.

Memperkatakan pembangunan dengan alam sekitar merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan tetapi sudah menjadi hukum alam pula, alam sekitar menjadi taruhan dan mangsa. Apakah ini disebabkan bahawa kita melebihkan pembangunan berbandung alam sekitar dan keselesaan alam yang didiami? Tidak bolehkan kita sebagai manusia dan peminjam alam ini menjadi lebih berhemah dan bertanggungjawab dengan melakukan sesuatu demi memastikan alam sekitar lebih terjaga, atau paling tidak terkawal. Aktiviti mengorek pasir sungai ini tidak pernah dilihat sebagai suatu isu yang besar, tetapi kita perlu melihat ke depan dan menjangkakan sesuatu yang tidak baik daripada kegiatan manusia.


No comments:

Post a Comment