Wednesday, June 29, 2011

Parlimen Belia - Bergerak Ke Depan






Minggu ini U-Wartawan akan membawa topik berkaitan belia, iaitu penubuhan Parlimen Belia. Ketika cadangan ini dibangkitkan beberapa waktu yang lalu, yang terlintas dalam fikiran adalah Majlis Perundingan Belia yang diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Difahamkan majlis ini dianggotai oleh anak-anak muda semua lapisan dan kerjaya yang akan bermesyuarat secara berkala bagi membincangkan pelbagai topik berkaitan dengan belia.



Melihat ke luar negara, Parlimen Belia sudah tidak asing di negara seperti Britain, New Zealand, India dan Pakistan. Jika kita mahu menubuhkan Parlimen Belia di Malaysia, maka suatu garis pembentukan yang nyata perlu dilakar, yakni membabitkan tata cara pemilihan belia agar dapat mewakili semua kaum, landskap sosial, ekonomi, agama dan sebagainya. Ini bagi memastikan ia benar-benar membawa inspirasi belia dalam agenda negara, dan tidak dibataskan kepada hal belia semata-mata. Hakikatnya, suara dan pemikiran belia tidak boleh dilihat dengan sikap skeptikal, yakni sebagai suara muda, ia dianggap kelas kedua kerana banyak kejayaan besar dicipta oleh invidu pada masa usia muda atau ketika mereka masih dalam kelompok ini. Kita boleh melihat sekeliling, bagaimana nama-nama pemimpin korporat, politik dan juga pekerjaan menampilkan golongan muda.



Ini merupakan suatu kesamaan bahawa golongan belia sebagai anak muda dilihat mampu membawa inspirasi dan idea baru yang segar, lebih baik dan menarik untuk dikemukakan bukan kepada belia semata-mata, malah kepada negara. Lantas, Parlimen Belia dilihat sebagai satu lagi perkembangan dalam pembangunan dan penonjolan belia negara dan ia seharusnya dimanfaatkan sebagai suatu platform terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan di kalangan anak muda.



Bagi membincangkan secara mendalam mengenai pembentukan Parlimen Belia, ikuti perbincangannya dalam U-Wartawan di Astro Awani (Saluran 501) pada 1 Julai 2011, pukul 10 malam.



Tuesday, June 21, 2011

Pengupayaan Orang Asli






Banyak isu dikaitkan dengan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan kelompok rakyat Malaysia yang berjumlah kira-kira 140 ribu orang ini sering disinonimkan dengan ketinggalan dalam setiap aspek kehidupan. Lantaran itu, ada yang mahu masyarakat ini mendapat layanan khusus bagi membolehkan mereka hidup sesuai dengan perubahan masa, malah, kerajaan mempunyai jabatan yang khusus bagi menguruskan hal-ehwal masyarakat ini.



Namun, selepas lama merdeka, masyarakat ini masih jauh ketinggalan berbanding masyarakat lain dan masih terdapat cakap-cakap mengenai keperluan khusus untuk masyarakat ini. Tetapi, persoalannya, layanan dan keistimewaan yang bagaimanakah untuk masyarakat ini? Kenapa pula usaha selama ini membawa masyarakat ini keluar ke arus perdana masih tidak berjaya. Mungkinkah kegagalan ini disebabkan kegagalan pentadbiran dan pembangunan yang diusahakan untuk mereka, atau sebenarnya, perlunya perubahan dalaman, yakni perubahan daripada masyarakat Orang Asli secara menyeluruh yang mampu mengubah landskap sosial, ekonomi, politik dan pendidikan mereka yang ketinggalan.



Bagaimana pula dengan stigma masyarakat lain yang selalunya memberi pandangan yang agak negatif atau rendah terhadap masyarakat ini? Ini merupakan perkara yang perlu dibuang. Tetapi bagaimana pula dengan masyarakat Orang Asli itu sendiri. Jika melihat dan menilai semula, hakikatnya, ramai Orang Asli yang berjaya dalam pelbagai bidang dan ini menunjukkan mereka boleh mencapai kejayaan seperti orang lain. Bermakna, mereka perlu keluar daripada lingkungan hidup dan pemikiran lama yang membelenggu, perlu bersikap dinamik dalam mencipta peluang dan kejayaan. Situasi ini memerlukan suatu anjakan paradigma bahawa tidak ada lagi kehidupan yang bergantung semata-mata kepada sumber alam sekeliling ketika mengamalkan hidup di dalam hutan atau kampung terpencil.



Untuk itu, masyarakat ini perlu bertindak secara kolektif untuk bergerak keluar daripada belenggu pemikiran lama dan pada masa sama, kerajaan dan masyarakat arus perdana perlu membuka ruang untuk Orang Asli menjadi rakan gandingan. Tidak perlu ada istilah khusus mengenai keistimewaan untuk mendapat bahagian, kerana ia tidak akan membantu masyarakat ini menjadi dinamik dan hidup tanpa bantuan.



Bagi membincangkan lagi kondisi dan masa depan masyarakat Orang Asli, U-Wartawan akan membawa topik Pengupayaan Orang Asli pada 24 Jun ini, pukul 10 malam.



Thursday, June 16, 2011

Misi Pertahankan Kemanusiaan



Perjuangan Palestin merupakan satu tragedi kemanusiaan yang panjang dan paling mencabar kerana tuntutan masa, politik, ekonomi, kemanusiaan dan pastinya agama. Masalah Palestin tidak boleh dianggap sebagai masalah orang Arab Palestin semata-mata, tetapi perlu dilihat dalam pemahaman melepas segala batasan garis sama ada politik, geografi dan agama.



Tentunya banyak usaha dan tenaga diperlukan, dedikasi dan kesungguhan yang luar biasa tentunya ditagih bagi memastikan emansipasi Palestin dapat ditegakkan. Malah, demi memekarkan lagi perjuangan Palestin ini, U-Wartawan pernah mengemuka topik Palestin dan sekali lagi akan membawa topik ke medan perbincangan dan penyampaian pengetahuan kerana tidak ada had masa untuk perjuangan emansipasi Palestin sehinggalah rakyat Palestin mendapat hak merejka sebagai manusia bermaruah dan merdeka.



Kita tidak perlu menceritakan kekejaman rejim Israel kerana ia sudah menjadi budaya kepada bangsa Yahudi ini dan sudah menjadi tepu, tetapi kita perlu menumpukan perhatian kepada usaha untuk membantu dalam apa juga bentuk dalam membina kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Palestin, dan tentu sekali perjuangan kita diarahkan kepada pembentukan sebuah negara untuk rakyat Palestin pada satu hari kelak.



Dalam perjuangan Palestin ini, perjuangan sekian NGO Malaysia harus dipuji dan sewajarnya mendapat sokongan bagi menjayakan misi kemanusiaan mereka. Kehidupan yang daif dan penuh penghinaan mewajarkan kita memberikan bantuan, sokongan dan pertolongan yang amat diperlukan. NGO seperti Lifeline for Gaza, Aman Malaysia, Muslim Care, Yayasan Amal MAlaysia, PC2P-Aman Palestine dan Cakna Palestine merupakan antara barisan depan dalam menghulur bantuan yang amat diperlukan dan dengan bantuan itu, kita berharap rakyat Palestin dapat meringankan beban yang ditimpakan ke atas mereka selama ini. Kita tidak boleh gagal membantu kerana kegagalan kita merupakan tamparan kedua selepas masyarakat antarabangsa gagal melakukan sesuatu demi maruah dan darjat rakyat Palestin.



Jangan lupakan saksikan siaran langsung perbincangan mengenai Misi Pertahankan Kemanusiaan yang berkisar mengenai peranan NGO terbabit dalam membantu rakyat Palestin di Astro Awani (Saluran 501), 17 Jun 2011 pada pukul 10 mlm.



Kepada yang ingin menderma, saluran bantuan anda ke akaun Maybank 564490211159 (Muslim Care).