Thursday, August 12, 2010

Emansipasi Palestin


Isu Palestin merupakan masalah berpanjangan tanpa kesudahan. Walaupun banyak dalil atau hujah, termasuk mengaitkannya dengan ketentuan Tuhan, persoalannya, apakah kita hanya mahu berdiam diri tanpa berusaha.

Tegasnya, kita sebagai manusia sivil dan juga Islam harus berbuat sesuatu, paling tidak pun menyumbang sedikit wang atau menghulurkan doa untuk kebaikan sahabat kita di Palestin yang terus dihina di tanah tumpah sendiri sejak lebih enam dekad.

Jika melihat pada situasi semasa, semua akan tahu mengenai penguasaan Yahudi yang tidak dapat ditentang kerana hubungannya dengan Amerika Syarikat, tetapi itu bukan alasan untuk kita beralah dan hanya meletakkan kesalahan kepada kuasa besar ini, atau mengecam Yahudi dan negara Israel sahaja.

Perkara yang penting demi melihat Palestin akan terus bertahan adalah perlunya sokongan dan bantuan berterusan seluruh masyarakat Islam dan dunia yang mencinta keadilan dan kesakmaan, bahawa perjuangan Palestin dalam apa jua bentuk mesti berterusan, bukan bermusim atau tenggelam timbul.

Perkara penting adalah menyatukan seluruh umat dan negara Islam, mempengaruhi masyarakat dunia dan mengenakan tekanan terhadap negara Yahudi dan AS bahawa kekejaman dan ketidakadilan mereka tidak boleh diterima oleh dunia, bahawa mereka mesti bertanggungjawab terhadap perbuatan dan tindakan mereka selama ini dan membetulkan segala kesalahan dan kerosakan.

Emansipasi Palestin bukan anti-Yahudi atau Israel, tetapi ini adalah memberi hak kepada yang hak dan memadamkan kekejaman dan ketidakadilan yang dipaksa ke atas bangsa lain.

Wednesday, August 4, 2010

Ramadan Anak Muda


Selamat menyambut bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam dan selamat menunaikan ibadat puasa. Ini peluang setahun sekali dan nikmat yang patut dsyukuri apabila kita berpeluang sekali lagi menyambutnya.


Sebelum kita melalui bulan Ramadan ini, ada baiknya kita merenung semula Ramadan yang pernah dilalui, juga hari-hari dalam kehidupan selama ini, apakah yang kita perbuat dan lakukan dalam hidup, segala kebaikan dan keburukan, kelebihan dan kekurangan yang kita telah lakukan.


Ramadan ini juga kita berpeluang sekali lagi untuk merenung dan bermuhasabah diri, menginsafi segala kekurangan dan kelemahan yang telah diperbuat dengan harapan dan doa dapat dibaiki. Begitu juga ini merupakan masa terbaik untuk kita meningkatkan amal bagi mendapat keberkatan dan kerahmatan-NYA yang berganda-ganda.


Jadikan ia permulaan kepada suatu kehidupan, perubahan baru dalam hidup untuk menempuh hari-hari kemudian yang lebih baik, sebagai umat Islam yang terbaik dan terpuji dalam segalanya.


Bulan ini merupakan suatu landasan untuk melakukan anjakan dan perubahan bahawa tidak ada lagi diri kita yang sebelum ini, berwajah herot dan kotor, dan melakukan perubahan sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Pada masa sama, bagaimana pula kita melihat diri dalam konteks yang lebih luas dan besar, dalam lingkungan kehidupan berjiran, setaman, sekampung dan sebagai satu umat peringkat negara, mahupun sejagat.


Banyak cabaran yang melanda, bukan terhadap diri secara peribadi tetapi sebagai umat Islam secara keseluruhan, bahawa perjuangan sentiasa berterusan dan musuh tetap ada dan selalu ada memerhati dan bertindak atas kealpaan dan kelemahan.


Bulan Ramadan, tidak sekadar berlapar dan berharga, lebih daripada itu menuntut pemahaman dan penghayatan untuk membersihkan jiwa dan hati kita daripada segala yang buruk dan batil, dan menjadi umat manusia terbaik.


Selamat menyambut puasa Ramadan dan ikuti siaran U-Wartawan pada 6 Ogos @ 10 malam yang akan memperkatakan topik ini. Selamat menonton.

Thursday, July 29, 2010

Guru Siswazah Berpolitik


Tidak dinafikan guru memainkan peranan besar dalam politik negara ini, terutamanya politik Melayu pada tahun 1950-an dan 1960-an, tetapi seiring dengan perjalanan masa, peranan guru telah ditiadakan.

Namun, dengan pengumuman terbaru, guru siswazah diberi kebenaran untuk terlibat aktif dalam politik, itu pun dengan kebenaran dan kelulusan. Bagaimana pun ramai yang tertanya-tanya dengan keputusan kerajaan ini dan ada yang melihat ia merupakan keputusan terdesak dan sukar difahami.

Sebelum kita melihat lebih jauh, ada baiknya kita merenung dulu peranan guru hari ini dan juga berpedaan politik negara masa kini berbanding sebelum dan pada tahun-tahun awal kemerdekaan.

Memang benar mereka pernah memainkan peranan penting dan besar serta pengaruh mereka amat besar kepada demografi negara, namun, hakikatnya realiti politik semasa mungkin menyebabkan guru berpolitik dianggap tidak sesuai.

Suatu ketika dulu peranan guru dianggap penting kerana mereka merupakan golongan terpelajar negara pada masa itu, malah merupakan anak warga terdidik yang ramai berbanding bilangan berbanding bidang lain. Pada masa sama, guru mendapat tempat tinggi dalam masyarakat, justeru pengaruh mereka juga kuat.

Lalu melihat kepada situasi politik semasa, apakah suasana pada tahun 50-an dan 60-an masa serupa dengan keadaan hari ini? Ini persoalan yang perlu diambil kira tatkala banyak cakap-cakap menyebut tugas guru di sekolah yang sarat.

Dan jika guru siswazah dibenarkan berpolitik secara aktif, bagaimana pula tumpuan kepada anak murid di kelas, sedangkan masa yang diperlukan untuk berpolitik juga begitu menuntut dan menekan. Ia sebenarnya sama seperti seseorang mempunyai dua kerjaya dalam satu masa.

Lantas, apakah kita akan mendapat kualiti pendidikan terbaik untuk pembentukan generasi baru negara, atau keperluan politik semasa amat menuntut dan perlu dipenuhi.

Sama ada positif atau negatif tindakan ini, terpulang kepada individu yang memilih untuk menjadi ahli politik yang aktif dan perlunya mempunyai sikap objektif dalam dua bidang ini kerana sebagai seorang guru tentunya perkara yang diutamakan adalah kerjaya sebagai guru dan bukannya politik kepartian.
Topik: GURU SISWAZAH BERPOLITI
Masa: 10 mlm
Tarikh: 30 Julai 2010
Saluran: Astro AWANI (501)
Tamu: Dr. Ramli Basri, Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan
Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM