Tuesday, September 8, 2009

Transformasi Pengangkutan Awam Lembah Klang




Ramai yang beranggapan masalah pengangkutan awam umpama tidak sudah, biarpun pelbagai langkah diambil. Kewujudan RapidKL diharap dapat menyelesaikan masalah pengangkutan awam di lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur. Persoalannya apakah perkhidmatan bas dan transit aliran ringan menjadi pilihan warga kota dan pengguna berasa cukup selesa dan cekap.


Pada 1 September lalu Syarikat Prasarana Negara yang bertanggungjawab terhadap integrasi pengangkutan awam di Lembah Klang telah memperkenalkan sistem tambang baru yang bersepadu, pada masa sama menubuhkan badan petugas khas yang meliputi pengguna untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan secara menyeluruh. Aspek tersebut meliputi perkhidmatan pengangkutan awam, pemandu dan kebajikan mereka serta keselesaan penumpang.


Mungkinkah langkah ini akan membantu ke arah membaiki perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan transit aliran ringan. Barangkali penanda aras terbaik ialah apakah pengguna sedia ada mendapat lebih kepuasan daripada perkhidmatan yang diberi sementara para pemandu pula bertukar kaedah pengangkutan untuk memasuki Kuala Lumpur dengan menaiki bas dan transit aliran ringan.


Sesuatu pembaharuan dan perubahan tidak memberi makna jika segala cakap-cakap mengenai keselesaan dan kecekapan perkhidmatan masih berlegar-legar dan membayangi kita selaku pengguna, pengurusan dan kerajaan. Atau apakah kita sebenarnya terlalu banyak melakukan eksperimen tanpa menemui hasil yang menjanjikan penyelesaian menyeluruh.


Masalah pengangkutan awam dan pilihan pengguna masih lagi berlegar apabila mereka lebih suka memilih untuk menaiki kenderaan sendiri dan pengangkutan awam sekadar menjadi pilihan golongan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri. Mungkinkah ini fenomenanya apabila kita tidak dapat melihat suatu rangka besar kepada penyelesaian menyeluruh, sedang kita hanya melakukan sesuatu dalam ruang lingkup yang bersifat kecil dan dibahagikan dalam banyak kotak - bermakna kita menyelesaikan satu masalah dan meninggalkan banyak masalah lain tanpa penyelesaian.


Melalui langkah terbaru Syarikat Prasarana dan RapidKL, mungkinkah ia menjadi laluan terowong menuju sistem pengangkutan awam membabitkan bas dan transit aliran ringan yang lebih tuntas, atau masih terus bergelumang dalam percubaan penyelesaian tanpa kesudahan.


Kongsikan pandangan anda kerana mungkin idea anda sebagai wartawan rakyat dan pengguna lebih membina?