Di Malaysia, dianggaran sebanyak 11.8 juta jumlah bilangan golongan belia di dalam negara. Belia adalah golongan yang dikategorikan berada dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun mengikut garis panduan Dasar Belia Negara. Dewasa ini, suara belia adalah signifikan dalam masyarakat kita memandangkan suara belia dikatakan lebih segar dan membawa pengaruh yang sangat besar dalam negara kita pada hari ini.
Sejarah membuktikan bahawa dalam menuntut kemerdekaan negara, suara-suara inilah yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme di dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah british. Hal ini jelas menunjukkan betapa kuat dan besar impak suara belia yang menjadi tunggak dan tulang belakang negara.
Selepas 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, suara belia harus meneruskan kesinambungan ini dalam membentuk kecemerlangan yang lebih kepada negara dan meningkatkan kemajuan negara. Persoalan yang perlu diberikan perhatian adalah; Apakah bentuk cabaran belia di dalam alaf 21 ini serta apakah aspek yang perlu diberikan penekanan di dalam melahirkan generasi belia yang cemerlang dan berjaya dewasa ini?
Selain daripada itu, mungkin ramai belia yang tidak menyedari mengenai potensi dan hak-hak suara mereka untuk didengar. Wawasan 2020 yang diilhamkan pada tahun 1991 seharusnya ditunjangi oleh golongan ini dan mereka seharusnya lebih peka dalam keupayaan berkongsi idea dan pelbagai bentuk sumbangan bagi merealisasikanya. Oleh itu, apakah saluran yang terbaik yang boleh diaplikasikan oleh golongan belia pada hari ini dalam menyalurkan idea dan pendapat mereka? dan bagaimana membentuk keyakinan belia dalam menyumbang cetusan idea mereka? apakah juga langkah-langkah yang boleh diambil bagi memberikan peluang yang adil dan saksama kepada golongan belia dalam membangun dan memajukan negara? kongsikan pendapat anda di U-Wartawan, anda juga wartawan.