Wednesday, February 23, 2011

Pengupayaan OKU



Dalam kita mengejar pembangunan dan kemajuan negara, sejauhmanakah kita ada dan mahu memikirkan, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh golongan ORang Kurang Upaya (OKU). Saya tidak mahu memperkatakan, apakah yang patut atau perlu diberikan kepada golongan ini untuk kelangsungan hidup kerana, ia seumpama kita memberi sesuatu bahagian hidup kepada peminta sedekah.

Kita perlu mengubah paradigma pemikiran dengan memberikan suatu anjakan baru kepada golongan ini, yakni melihat mereka sebagai golongan yang mempunyai keupayaan dan kelebihan tertentu yang berbeza daripada orang lain, atau paling tidak setara. Melalui langkah begini kita sebenarnya memberikan mereka kepercayaan atas dasar bahawa mereka mampu. Kita akan melihat mereka dengan menilai sisi kekuatan yang mereka miliki untuk dimanfaatkan dalam pembangunan insaniah atau atau modal insan.

Dalam zaman serba penuh persaingan, kita tidak boleh menjadi pemberi ikan untuk memberi makan, sebaliknya memberi pancing untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup selagi hayat dikandung badan.

Lantas, apakah kita benar-benar bersedia dan mahu peduli bahawa golongan ini sewajarnya mendapat ruang kepercayaan kita, atau masih timbul lagi stigma negatif bahawa label OKU atau cacat ini telah membataskan keupayaan fizikal, malah mental.

Apa yang pasti pada hari ini, masih kedengaran suara songsang yang menidak, mahu pun membayangkan rasa memandang rendah terhadap golongan ini sehingga berterusan menyingkirkan mereka dalam kehidupan yang pasif dan semakin hilangnya mereka kepada sistem kemasyarakat. Masih ramai yang merintih biarpun untuk mahu hidup berdikari. Ramai yang memiliki kelulusan tinggi daripada IPT terus hidup dalam dunia kesedihan mereka apabila dinafikan peluang mendapat pekerjaan.

Bagi membincangkan topik Pengupayaan OKU ini, saksikan siaran langsungnya dalam rancangan U-Wartawan di Astro AWANI (Saluran (501) pada hari Jumaat, 11 Mac 2011, jam 10 malam. Anda dialu-alukan menyertai perbincangan dengan memberikan komen melalui platform yang disediakan, termasuk di blog ini.