Sunday, July 19, 2009

Kebajikan Warga Terpinggir


Program U-Wartawan pada 24 Julai ini akan memperkatakan topik Kebajikan Warga Terpinggir, menjurus kepada golongan kurang upaya yang dikategorikan mengalami kecacatan mental. Kisah layanan yang diterima oleh golongan ini di Rumah Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu menyingkap suatu kisah kehidupan yang tidak diketahui. Biarpun pihak terbabit ada alasan sendiri mengenai layanan dan keadaan yang diterima, pendedahan tersebut sewajarnya membuka mata dan pemikiran kita bahawa sesuatu perlu dilakukan, bukan saja persoalan layanan di rumah kebajikan, tetapi kesedaran masyarakat umum.
Sebagai manusia golongan ini juga mempunyai hak dan salah satu daripadanya ialah mendapat pendidikan dan asuhan terbaik. Pendidikan dalam hal ini bertujuan menjadikan mereka boleh mengurus diri serba sedikit atau meningkatkan daya mekanik tubuh badan dan daya berfikir biarpun pada kadar yang terhad.
Pada masa sama, apakah yang masyarakat dan pihak berwajib boleh lakukan demi membela nasib golongan ini. Cukupkah sekadar bernaung di rumah-rumah kebajikan atau usaha perlu dipertingkat untuk menambah baik kehidupan golongan ini dan tidak dianggap sebagai beban kepada masyarakat dan negara.
Malah, perkembangan hidup zaman moden yang penuh tekanan dan cabaran juga mendedahkan anggota masyarakat, khususnya di bandar berdepan dengan penyakit mental. Apakah kita sedar dan bersedia menghadapinya?
Lontarkan pandangan ini kepada U-Wartawan. Anda juga wartawan.