Tuesday, April 6, 2010

Pengurusan Sumber Air


Apakah yang kita akan fikirkan semasa menggunakan air di rumah - penggunaan membazir, bil air murah atau sepatutnya percuma - atau adakah kita memikirkan faktor lestari sumber air dan segala proses berkaitan sehingga air itu sampai ke rumah atau tempat kerja kita.


Atau kita mungkin mengatakan air yang dikatakan sudah diproses dan dirawat masih berkeladak dan tidak selamat diminum?


Namun, perkara yang wajar diberi perhatian adalah aspek berkaitan sumber air, yakni bagaimana kita mengurus, dan lebih penting adalah cara kita memelihara sumber air. Ini bukan soal sumber yang tercemar semata-mata, tetapi merangkumi kelangsungan sumber itu untuk hari-hari mendatang, memandangkan cabaran terbesar pada masa akan datang bagaimana sumber air boleh diterima oleh pengguna sama ada domestik, industri, pertanian dan semua kehidupan yang memerlukan air.


Tantangan hari ini adalah bagaimana untuk memastikan sumber air sentiasa tersedia dan dalam kuantiti yang amat besar untuk menampung seluruh kehidupan di atas muka bumi ini. Kebimbangan pada masa akan datang apakah manusia mampu melestarikan sumber air atau kita akan berperang sesama sendiri untuk berebut bekalan air.


Pada hari ini, apakah yang apakah yang kerajaan lakukan untuk mengurus sumber air dan apakah mencukupi sumber air untuk menampung keperluan. Kita tidak boleh menyalahkan pengguna membazir semata-mata sedangkan pada banyak sektor terdapat kelemahan yang ketara, yakni berlaku ketirisan yang cukup mencetuskan rasa gundah.


Beberapa gerakan berupa kempen yang dijalankan tidak lebih merupakan kerja perhubungan awam, sedangkan sama seperti keperluan lain di atas bumi ini, banyak desakan akibat hambatan bahawa bekalan air masa depan semakin terancam seperti Sungai ganges mungkin kehilangan sumber airnya apabila glasier di Banjaran Himalaya semakin mencair pada kadar yang terlalu cepat, atau bumi semakin kering apabila air di atas tanah tersejat ke udara pada kadar yang amat pantas.


Ini permasalahan yang tidak boleh diletakkan mengikut lagu bangu oh bangau, tetapi memerlukan suatu penyelesaian secara menyeluruh, bermakna satu sektor tidak boleh digerakkan, atau tidak memadai untuk mencari penyelesaian secara tuntas.


Persoalannya, apakah kita akan menemui penyelesaian tuntas itu, atau masalah air akan menjadi satu lagi wabak masalah? Apa kata anda pula.