Monday, July 13, 2009

Menilai Prestasi Menteri


Untuk siaran pada 17 Julai ini, U-Wartawan akan mengemukakan topik Menilai Prestasi Menteri sebagai reaksi kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Perbincangan akan meliputi aspek penilaian prestasi para menteri dan timbalan menteri dalam melaksanakan tugas.
Persoalan yang dibangkitkan di sini ialah bagaimana KPI atau laporan menteri itu akan dinilai dan apakah kayu ukur bagi penilaian yang dibuat. Mungkinkah Perdana Menteri yang bertanggungjawab membuat penilaian dan bagaimana pula reaksi rakyat.
Juga, apakah jika prestasi seseorang menteri itu tidak memuaskan, perlukah dia meletakkan jawatan?
sebagai wartawan rakyat, anda pasti mempunyai pandangan terhadap perkara ini, iaitu apakah pengenalan kepada penilaian prestasi ini akan meningkatkan kecekapan pentadbiran seorang menteri dan bagaimana anda mahu seorang menteri berkhidmat.
Besar harapan di sebalik pengenalan penilaian prestasi ini akan meningkatkan kecekapan dan ketelusan kerajaan dalam mentadbir negara dan berkhidmat kepada rakyat.

Thursday, July 9, 2009

Meninggikan Profesion Perguruan


Baru-baru ini kerajaan mendedahkan Kementerian Pelajaran menghadapi masalah kekurangan guru lelaki berbanding wanita. Implikasi daripada kekurangan tersebut memberi kesan besar kepada sistem pendidikan. Dilaporkan nisbah lelaki yang memohon memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) setiap tahun ialah 35:65.
Persoalan yang dibangkitkan kenapakah profesion ini semakin tidak mendapat sambutan di kalangan lelaki? Dan apakah pula tindakan susulan oleh kementerian bagi menyimbangkan. Mungkinkah profesion ini tidak dianggap glamor sehingga orang lelaki menjauhi, atau pelbagai isu berkaitan pendidikan dan sekolah menyebabkan ia kurang menarik minat. Anda sebagai wartawan rakyat atau peneraju profesion perguruan pasti mempunyai jawapan kepada permasalahan ini dan sila kongsikan bersama kami di U-Wartawan.

Monday, July 6, 2009

Michael Jackson Sebagai Ikon


Gajah mati meninggalkan gading, Michael Jackson mati meninggalkan satu legasi kepada dunia, iaitu bahasa muzik yang universal, merentasi sempadan ras, politik dan geografi. Beliau mempesonakan dunia dengan lagu dan gerak tarinya, mencetuskan suatu fenomena dan tanda aras dalam budaya popular.
Beliau membuktikan populariti tidak datang dengan jalan mudah melainkan melalui usaha bersungguh-sungguh dan kejayaan dan kemewahan yang dikecapi tidak datang menggolek. Jacko sendiri diasuh oleh orang tuanya untuk menjadi penyanyi sejak zaman kanak-kanak dengan pengawasan dan displin yang ketat. Komitmen dan disiplin yang kuat telah meletakkan beliau pada tahap tersendiri dalam seni suara dan tidak sekadar bergantung kepada bakat luar biasanya.
Apa pandangan anda tentang Jacko sebagai ikon? kongsikan bersama-sama kami di U-Wartawan.