Wednesday, January 13, 2010

Perkongsian Dalam Pendidikan (Komuniti & Sekolah)


Pembangunan pelajar dan kecemerlangan sesebuah institusi sekolah tidak seharusnya sepenuhnya bergantung kepada faktor dalaman itu sendiri, di mana segala perhatian beralih kepada guru dalam menggalas tanggungjawab ini. Namun, Komuniti turut memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan pelajar. Dewasa ini, ramai yang sering menyalahkan pihak sekolah seratus peratus jika terdapat sebarang kesulitan atau masalah yang melibatkan pembangunan dan kecemerlangan pelajar sekolah.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa dengan kurangnya penglibatan secara menyeluruh daripada masyarakat luar, ibu-bapa, dan dunia korporat, ini secara tidak langsung akan turut memberikan kesan kepada pembangunan pelajar pada masa kini. Ada yang mengatakan bahawa komuniti sukar terlibat secara langsung dalam pembangunan pelajar di sebabkan oleh kekangan-kekangan tertentu seperti masa, dan sistem pentadbiran sekolah yang tidak aktif dalam melibatkan penyertaan komuniti luar.

Secara keseluruhannya, ingin dikupas mengenai apakah kepentingan perkongsian di antara sekolah dan komuniti serta apakah bentuk-bentuk cabaran yang ada dalam mewujudkan perkongsian dalam pendidikan pada zaman ini bagi memastikan pembangunan pendidikan sejagat yang melibatkan semua pihak.

Tuesday, January 5, 2010

Merealisasi Malaysia Inovatif 2010.



Topik U-Wartawan pada kali ini akan berbincang mengenai Malaysia inovatif dan kreatif 2010 yang bakal menjadi topik dan isu utama sepanjang tahun ini. Inovasi membawa erti mengubah, dan memperbaharui yang berkait rapat dengan aktiviti mereka cipta sesuatu idea baru yang membawa kepada suatu transformasi yang berbeza daripada biasa. Inovasi di Malaysia masih lagi ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang melahirkan ramai pakar yang menjadikan sumber inovasi dan kreativiti sebagai salah satu faktor terpenting dalam sektor pembangunan negara. Sebagai contoh, pembangunan perisian Microsoft, bioteknologi dan teknologi canggih I-Phone dan alat perhubungan komunikasi lain dan sebagainya.

Oleh kerana sumbangan yang besar dan potensi yang boleh diaplikasikan oleh bidang ini, Baru-baru ini, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) telah mewar-warkan tahun 2010 sebagai tahun inovatif dan kreatif bagi menggalakkan masyarakat menceburi bidang ini dan menjadi penyumbang pembangunan negara. Selain itu, bajet 2010 yang diumumkan baru-baru ini turut memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang berasaskan bidang inovasi dan kreatif dalam negara.

Apakah bentuk cabaran yang bakal negara berdepan dalam merealisasikan matlamat ini memandangkan Malaysia masih dikira ‘baru’ dalam mempelopori bidang ini dan apakah pendekatan terbaik yang boleh diaplikasikan oleh semua pihak terlibat bagi melancarkan perjalanan kempen ini sepanjang tahun ini? Juga kongsikan, apakah kesan UTAMA yang bakal kita hadapi sekiranya negara ini tampil gah dalam mempelopori bidang Inovasi dan Kreativiti pada tahun ini?

Kongsikan di U-Wartawan, anda juga wartawan.

Wednesday, November 18, 2009

Kualiti perkhidmatan kaunter



Perkhidmatan kaunter selalunya lebih dekat dengan pelanggan/orang ramai kerana perkhidmatan kaunter merupakan ‘barisan hadapan’ sesebuah organisasi samada awam atau swasta. Kebiasaanya, perkhidmatan kaunter akan mencerminkan perkhidmatan secara ‘first impression’ kepada pelanggan kerana kebanyakan urusan yang melibatkan organisasi tersebut dijalankan menerusi perkhidmatan kaunter dan sebagai tempat resepsi utama sebelum dilanjutkan untuk berurusan.


Walaubagaimanapun, perkhidmatan kaunter juga sering dilihat sebagai tidak memenuhi keperluan dan kehendak mereka serta sukar untuk mendapatkan kerjasama, kurang kecekapan, atau dalam kata yang mudah, tidak mesra pelanggan. Seringkali kita mendengar pelbagai aduan yang diterima oleh orang ramai dan pelanggan yang menyatakan rasa ketidakpuashatian mereka terhadap layanan yang diterima di samping struktur prasarana di tempat menunggu yang kurang selesa.


Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik bagi meningkatkan prestasi dan memulihkan imej perkhidmatan kaunter di mana-mana organisasi dan apakah melalui pembaharuan sistem kerja yang efektif dan cekap sudah cukup bagi memastikan kepuasan hati pelanggan diutamakan? bagaimanakah bentuk pengurusannya, serta bagaimana ingin menilai tahap kepuasan pelanggan/orang ramai terhadap perkhidmatan kaunter? kongsikan di U-Wartawan, anda juga wartawan.