Wednesday, February 9, 2011

Jenayah Media Sosial



Media sosial yang ditakrifkan sebagai media untuk interaksi sosial merupakan antara medium baru dalam perhubungan dan berkomuniti yang mendapat sambutan ramai dengan peningkatan mendadak dalam sedekad. Dalam dunia ICT hari ini, perkataan seperti blog, twitter, sms, mms, youtube dan facebook bukan merupakan suatu yang asing tetapi sudah mendasasi kehidupan harian warga dunia termasuk Malaysia.

Namun, seiring dengan perkembangan tersebut telah timbul kebimbangan apabila teknologi ini sekali lagi menjadi manipulasi individu atau kumpulan tertentu. Melalui media baru ini, maklumat peribadi pengguna dikatakan menjadi mangsa kecurian oleh penyangak yang kemudian menggunakannya untuk kepentingan sendiri. Tidak kurang juga yang ditipu dalam laman-laman sosial ini sehingga mengalami kerugian material yang amat besar.

Apakah kita mahu meletakkan masalah ini sebagai kelamahan media sosial, atau kita perlu melihat kembali kepada diri manusia sendiri yang mudah terpedaya dengan tipu muslihat, atau sikap tamak kita yang akhirnya menjebakkan kita dalam perangkap yang disediakan.

Pada masa sama, apakah yang boleh kita perbuat untuk mendepani masalah seperti ini seperti kita sebagai pengguna media sosial dan bagaimana tindakan terbaik yang boleh memberi kesan paling berkesan kepada pelaku kesalahan.

Dalam apa juga perkara atau permasalahan, ia memerlukan tata kerja penyelesaian menyeluruh bermula daripada diri kita sebagai pengguna, sentiasa peka dan prihatin mengenai kedudukan kita serta berjaga-jaga dengan tindakan orang lain. Juga, tidak mengambil mudah dengan mendedahkan maklumat sulit dan penting kita kepada pengetahuan umum.

Kerajaan mempunyai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang diberi kuara pemantauan, membuat peraturan dan penguatkuasaan bagi melindungi pengguna dan negara daripada perlakuan jenayah, tetapi hukuman yang berat semata-mata tidak memadai untuk membendung jenayah seumpama ini. Seperti juga jenayah-jenayah lain, pengguna tidak boleh beranggapan bahawa mereka bebas daripada pemerhatian penjenayah yang sentiasa mencari mangsa.

Jenayah media sosial sseiring dengan kecanggihan hidup hari ini, dan sebagai pengguna, kita perlu meletakkan diri dalam keadaan yang berdaya tahan daripada tindakan penyanggak siber.


Topik: Memerangi Jenayah Media Sosial


Tamu: Zulkarnain Mohd Yasin


Tarikh: 11 Februari 2011


Masa: 10 mlm (Siaran Langsung)


Saluran 501 (Astro Awani).

Tuesday, January 11, 2011

Interlok dan kontroversi rasis



Selepas 40 tahun karya ini menemui khalayak, secara tiba-tiba Interlok menjadi isu dan kontroversi yang mencemaskan tatkala ia menemui pelajar selepas dipilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS). Alasan yang dilemparkan adalah ia bersifat rasis dan menghina kaum tertentu dan oleh itu tidak wajar dijadikan bahan pelajaran di sekolah kerana ada kaum yang berasa terhina disebabkan perkataan seperti paria dan pelukisan perihal kasta yang menjadi amalan masyarakat India.

Tentunya, boleh difahami bahawa isu ini telah dibawa keluar daripada konteks sastera dan menjadi isu politik, atau dipolitikkan sehingga ada yang melatah dan melenting dan membakar novel ini. Apakah kesalahan besar novel ini, atau dosa Interlok kepada masyarakat India. Tentunya, amat mendukacitakan cita tindakan seperti ini, atau sebarang ulasan yang mengecam dan membidas Interlok tidak melalui proses pembacaan, pemahaman dan pencerahan yang mendalam.

Kita juga tidak boleh menjadi emosional dalam perkara seperti ini kerana sesuatu isu boleh menjadi melarat kepada hal-hal lain, apatah lagi dalam konteks negara berbilang bangsa seperti Malaysia. Lantas, mari kita melihat segala kisah yang dipaparkan dalam novel Interlok ini, sama ada edisi asal atau Edisi Murid dalam konteks realiti sosial dan zaman yang diangkat, dan membuka minda kita tentang sejarah dan perjuangan bangsa, berjuang untuk membina kehidupan daripada serba kedaifan kepada kehidupan yang lebih bermakna.

Soal rasis atau menghina kaum tidak boleh dilihat sebagai suatu yang tegar dan totok dalam teks Interlok, sebaliknya, ia elemen yang membentuk bangsa-bangsa yang berasingan dalam suatu peradaban baru di bumi Tanah Melayu dan Malaysia. Sebelum kita menjatuhkan talak bahawa Sasterawan Negara Abdullah Hussein bersikap rasis, adalah lebih baik kita membaca dan memahami karya ini.

Kami di U-wartawan juga membawa isu ini ke kaca televisyen melalui Saluran 501, Astro AWANI pada 14 Januari ini, pukul 10 malam untuk mengupas dan memahami karya yang mengangkat hubungan dan perpaduan antara kaum yang menjadi paksi kepada kehidupan bernegara di Malaysia.

Thursday, January 6, 2011

Khurafat Dalam Filem Seram


Sejak beberapa tahun ini, terdapat kecenderungan di kalangan pembikin filem dan drama tv menghasilkan genre seram sama ada dalam bentuk seram atau komedi, tentunya atas nama hiburan. Hakikatnya juga, unsur seram sama ada mistik, ghaib, hantu, roh atau jin bukanlah fenomena baru, sebaliknya sudah lama wujud dalam sinematografi negara. Lebih daripada itu, genre seperti ini juga turut ada dalam sastera lisan yang jauh lebih lama.

Melihat kepada aspek seram, tahyul, mistik, hantu dan jin sebenarnya melihat kepada konteks kepercayaan masyarakat yang mempercayai dan terpengaruh dengan kewujudan seperti ini, dan mendasar segala kepercayaan tanpa peduli kebenaran atau kesahihan, malah terlibat secara langsung dalam amalannya.

Namun dalam konteks sinematografi, yakni drama televisyen dan cereka filem, unsur seram menjadi permainan kreatif sinematografi yang bertujuan mengusik deria menonton khalayak kepada suatu tahap ia mencetuskan rasa takut dan seram. Tetapi, apakah seram itu membawa makna kepada filem selain daripada tujuan hiburan - seperti yang dinyatakan oleh para pembikin.

Keadaan menjadi lebih gawat apabila seram, mistik, ghaib dan dunia gelap ini dikaitkan pula dengan khurafat, yakni perbuatan dan perlakuan dalam filem yang menggugat atau kerosakkan terus kehidupan beragama seseorang, dan tentunya, kita tidak mahu melihat natijah buruk akibat hanya dengan menonton cereka dalam filem dan televisyen.

Lalu, ada teguran dan pandangan yang mengatakan, paparan seram tanpa ilmu yang cukup mengenai segala yang bersifat mistik, ghaib, alam roh dan jin merupakan perbuatan yang membawa kepada syirik dan kejahilan mengenainya menjerumuskan kepada kepada pemesongan dan merosakkan akidah.

Ada pandangan yang mahukan, perkara seperti ini ditangani secara agama, yakni perlunya nasihat oleh orang faham dan tahu secara ilmu dan mahukan, adanya garis panduan sebagaimana halal, dan dalam konteks ini dinamakan pematuhan Syariah. Hakikatnya, kita perlu beranjak, yakni, bersikap lebih proaktif dalam merangka kerja berhubung aspek khurafat ini, agar kita tidak membiarkan sesuatu berlaku sewenang-wenangnya, dalam keadaan terlepas pandang atau cuai dan lalai.
Saksikan perbincangan di U-Wartawan pada pukul 10 mlm 7 Januari 2011 bersama tamu di studio.