Thursday, June 16, 2011

Misi Pertahankan Kemanusiaan



Perjuangan Palestin merupakan satu tragedi kemanusiaan yang panjang dan paling mencabar kerana tuntutan masa, politik, ekonomi, kemanusiaan dan pastinya agama. Masalah Palestin tidak boleh dianggap sebagai masalah orang Arab Palestin semata-mata, tetapi perlu dilihat dalam pemahaman melepas segala batasan garis sama ada politik, geografi dan agama.



Tentunya banyak usaha dan tenaga diperlukan, dedikasi dan kesungguhan yang luar biasa tentunya ditagih bagi memastikan emansipasi Palestin dapat ditegakkan. Malah, demi memekarkan lagi perjuangan Palestin ini, U-Wartawan pernah mengemuka topik Palestin dan sekali lagi akan membawa topik ke medan perbincangan dan penyampaian pengetahuan kerana tidak ada had masa untuk perjuangan emansipasi Palestin sehinggalah rakyat Palestin mendapat hak merejka sebagai manusia bermaruah dan merdeka.



Kita tidak perlu menceritakan kekejaman rejim Israel kerana ia sudah menjadi budaya kepada bangsa Yahudi ini dan sudah menjadi tepu, tetapi kita perlu menumpukan perhatian kepada usaha untuk membantu dalam apa juga bentuk dalam membina kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Palestin, dan tentu sekali perjuangan kita diarahkan kepada pembentukan sebuah negara untuk rakyat Palestin pada satu hari kelak.



Dalam perjuangan Palestin ini, perjuangan sekian NGO Malaysia harus dipuji dan sewajarnya mendapat sokongan bagi menjayakan misi kemanusiaan mereka. Kehidupan yang daif dan penuh penghinaan mewajarkan kita memberikan bantuan, sokongan dan pertolongan yang amat diperlukan. NGO seperti Lifeline for Gaza, Aman Malaysia, Muslim Care, Yayasan Amal MAlaysia, PC2P-Aman Palestine dan Cakna Palestine merupakan antara barisan depan dalam menghulur bantuan yang amat diperlukan dan dengan bantuan itu, kita berharap rakyat Palestin dapat meringankan beban yang ditimpakan ke atas mereka selama ini. Kita tidak boleh gagal membantu kerana kegagalan kita merupakan tamparan kedua selepas masyarakat antarabangsa gagal melakukan sesuatu demi maruah dan darjat rakyat Palestin.



Jangan lupakan saksikan siaran langsung perbincangan mengenai Misi Pertahankan Kemanusiaan yang berkisar mengenai peranan NGO terbabit dalam membantu rakyat Palestin di Astro Awani (Saluran 501), 17 Jun 2011 pada pukul 10 mlm.



Kepada yang ingin menderma, saluran bantuan anda ke akaun Maybank 564490211159 (Muslim Care).



Thursday, May 12, 2011

Belia Penjana Transformasi



Setiap tahun Hari Belia akan disambut dengan pelbagai slogan dan acara penuh warna. Namun, persoalannya bukan acara sambutan itu yang penting dalam menggerakkan belia bagi memenuhi tuntutan dan keperluan hidup, lebih lagi dalam konteks nasional.



Lantas, kami di U-Wartawan mengemukakan topik Belia Penjana Transformasi sebagai topik perbincangan untuk mengupas, bagaimana kita mahu membawa belia dalam bentuk dan acuan yang dikehendaki selaras dengan impian menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.



Dalam dunia moden hari ini, kita perlu bersifat proaktif dalam pembentukan dan pembangunan kendiri belia untuk menyediakan mereka dalam bentuk yang kita mahu dan perlu untuk pembangunan dan kemajuan negara.



Kata-kata bahawa masa depan depan negara dilihat pada golongan muda dan generasi muda ada benarnya. Andanya, jika belia dan golongan muda kita rosak atau hidup tanpa arah tuju, maka itulah masa depan negara. Jika jiwa mereka rosak, maka rosaklah mereka ketika mengambil alih peranan yang dimainkan oleh golongan yang lebih senior.



Lantaran itu, dalam menjadikan belia sebagai penjana transformasi atau perubahan negara, maka, kita perlu melakukan suatu pengisian yang menyediiakan belia ini dengan keperluan dan kehendak yang menepati ciri dan budaya bangsa dan negara Malaysia, belia yang memiliki kekuatan dan dinamika juga citra sendiri sesuai dengan lingkungan agama, budaya, sosial, ekonomi dan politik masyarakatnya.



Kepada belia Malaysia di luar sana, Selamat Hari Belia 2011.

Wednesday, April 27, 2011

Budaya membaca Rakyat Malaysia



Ikuti perbincangan topik ini pada 29 April @ 10 mlm di Astro Awani, Saluran 501 yang akan menilai budaya membaca rakyat Malaysia hari ini. Apakah rakyat Malaysia sekadar membaca di sekolah dan institusi pengajian tinggi dan tabiat itu ditinggalkan terus selepas memasuki alam pekerjaan. Bagaimana pula peranan ibu bapa dalam perkara ini, yakni mereka menjadi contoh kepada anak-anak dalam memupuk budaya membaca. Juga sangguhkah ibu bapa berbelanja sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak mereka.



Bagi para penerbit dan penulis, sejauhmanakah hasil karya dan penerbitan mereka mampu menarik khalayak dan juga, sesuaikah ia dibaca oleh rakyat Malaysia, atau masih lagi rakyat disogokkan dengam pandangan, susahnya mendapat bahan bacaan yang bermutu.



Selamat membaca kepada rakyat Malaysia!