Wednesday, September 7, 2011

Laporan UNICEF






Minggu ini U-Wartawan akan membincangkan laporan UNICEF khususnya mengenai kanak-kanak di Malaysia dalam aspek pendidikan dan makanan. UNICEF atau Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu merupakan badan khas dunia yang memantau kedudukan kanak-kanak di seluruh dunia terutamanya daripada aspek pengabaian dan penganiayaan.



Bagi Malaysia sendiri, tidak dinafikan kanak-kanak di negara kita mendapat akses terhadap pendidikan dan makanan yang baik, namun tidai dinafikan ada kelompok yang kurang bernasib baik yang tidak mendapat pendidikan sewajarnya, menyebabkan mereka tercicir dalam pembangunan kemanusiaan dan menjerumuskan mereka dalam jurang kemiskinan. Begitu juga, kemiskinan menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat makanan yang mencukupi atau sesuai untuk keperluan tumbesar mereka, lebih buruk lagi mendedahkan mereka kepada penyakit akibat daripada kekurangan zat atau vitamin yang diperlukan.



Dengan topik PENYERTAAN: MERANGSANG TANGGUNGJAWAB, U-Wartawan membawa anda dalam perbincangan mengenai pentingnya partisipasi dalam membangunkan sahsiah kanak-kanak, pembangunan kemanusiaan yang seimbang dan layanan yang sesuai dengan hak mereka sebagai anak dan warganegara.



Saksikan U-Wartawan 9 September 2011 dan berikan komen dan pandangan anda mengenai tanggungjawab terhadap pembangunan dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia. Saksikan siaran langsungnya pada pukul 10 malam bersama pengacara, Nazri Kahar.

Wednesday, July 13, 2011

Budaya Inovasi dan Rekacipta






Salah satu ciri kemajuan sesuatu negara dan invidu yang maju dan berdaya saing adalah keupayaan melakukan rekacipta, penyelidikan dan inovasi. Ia mungkin bukan sesuatu yang boleh diajar tetapi ia sebenarnya boleh dipelajari dan disemai sebagai suatu budaya dan pemikiran. Dalam kehidupan dunia persaingan, keupayaan mencipta, yakni melakukan perubahan dan pembaharuan amat penting dan besar, namun sejaumanakah kita mampu melaksanakannya.



Budaya dan kerajinan melalukan cptaan baru memerlukan kita berfikir di luar kotal, berfungsi di luar dimensi dan kerangka pemikiran statik, berupaya memikirkan dan menjangkakan sesuatu yang boleh diterima pakai untuk masa depan. Kejayaan organisasi dan syarikat dalam persaingan dan mendahului menjadi bukti mengapa perlu adanya pemikiran dan budaya rekacipta, inovasi dan penyelidikan, yakni kita tidak sentiasa berpuas hati dengan yang ada, selalu memikirkan kelainan pada sesuatu perkara atau barang yang akhirnya memberi manfaat kepada manusia dan menjadi kejayaan tabdir urus dan komersial.



Seperkara lagi yang perlu ditekankan adalah sikap tidak takut gagal kerana rekacipta dan menghasilkan sesuatu yang baru tidak bermula dengan kejayaan sama ada daripada aspek produk atau penerimaan masyarakat, sebagai mesin fotostat pada suatu ketika dulu semasa peringkat awal diperkenalkan, pernah ditolak, tetapi pada akhirnya, kita melihat ia diguna pakai di seluruh dunia hari ini; ia menjadi suatu kejayaan komersial dan industri yang sebenarnya besar dan penting.



Selain itu, bagaimana kita mahukan budaya dan pemikiran ini menjadi sebahagian kehidupan rakyat Malaysia. sebaiknya, budaya ini diterap sejak peringkat sekolah dan galakkan diberikan kepada kejayaan melahirkan rekacipta dan inovasi, termasuk melalui pertandingan di semua peringkat, bermula daripada peringkat kampung, taman sehinggalah kebangsaan.



Selamat menonton U-Wartawan (Saluran 501) pada Jumaat ini, pukul 10 malam, 15 Julai membawakan topik Budaya Inovasi dan Rekacipta.

Wednesday, June 29, 2011

Parlimen Belia - Bergerak Ke Depan






Minggu ini U-Wartawan akan membawa topik berkaitan belia, iaitu penubuhan Parlimen Belia. Ketika cadangan ini dibangkitkan beberapa waktu yang lalu, yang terlintas dalam fikiran adalah Majlis Perundingan Belia yang diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Difahamkan majlis ini dianggotai oleh anak-anak muda semua lapisan dan kerjaya yang akan bermesyuarat secara berkala bagi membincangkan pelbagai topik berkaitan dengan belia.



Melihat ke luar negara, Parlimen Belia sudah tidak asing di negara seperti Britain, New Zealand, India dan Pakistan. Jika kita mahu menubuhkan Parlimen Belia di Malaysia, maka suatu garis pembentukan yang nyata perlu dilakar, yakni membabitkan tata cara pemilihan belia agar dapat mewakili semua kaum, landskap sosial, ekonomi, agama dan sebagainya. Ini bagi memastikan ia benar-benar membawa inspirasi belia dalam agenda negara, dan tidak dibataskan kepada hal belia semata-mata. Hakikatnya, suara dan pemikiran belia tidak boleh dilihat dengan sikap skeptikal, yakni sebagai suara muda, ia dianggap kelas kedua kerana banyak kejayaan besar dicipta oleh invidu pada masa usia muda atau ketika mereka masih dalam kelompok ini. Kita boleh melihat sekeliling, bagaimana nama-nama pemimpin korporat, politik dan juga pekerjaan menampilkan golongan muda.



Ini merupakan suatu kesamaan bahawa golongan belia sebagai anak muda dilihat mampu membawa inspirasi dan idea baru yang segar, lebih baik dan menarik untuk dikemukakan bukan kepada belia semata-mata, malah kepada negara. Lantas, Parlimen Belia dilihat sebagai satu lagi perkembangan dalam pembangunan dan penonjolan belia negara dan ia seharusnya dimanfaatkan sebagai suatu platform terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan di kalangan anak muda.



Bagi membincangkan secara mendalam mengenai pembentukan Parlimen Belia, ikuti perbincangannya dalam U-Wartawan di Astro Awani (Saluran 501) pada 1 Julai 2011, pukul 10 malam.