Monday, June 28, 2010

Subsidi perspektif Pengguna


Ramai yang marah-marah dan meluahkan perasan tidak senang dengan pengumuman kerajaan bercadang menarik balik subsidi, dengan alasan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, dan lebih teruk jika subsidi terus diberikan akan menyebabkan Malaysia lingkup macam Greek.

Benarkah? Ramai yang beranggapan Malaysia tidak akan terjerumus ke tahap tersebut berikutan asas ekonomi dan kewangan Malaysia yang lebih baik, tetapi tidak kurang juga yang mendakwa, masalah kewangan kerajaan berpunca daripada ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan, yakni, banyak wang yang dibelanjakan oleh kerajaan tidak sampai kepada sasaran, sebaliknya hanya memenuhi kantung pihak tertentu.

Namun perkara yang menarik harus dirujuk dan diperkatakan dalam perkara ini bahawa subsidi merupakan perbelanjaan yang turut ada dalam Islam, yakni wang perbendaharaan yang dikeluarkan untuk membantu golongan sasaran dalam kehidupan seharian, misalnya golongan miskin.

Ahli ekonomi pula mendakwa subsidi mengherotkan ekonomi, yakni dianggap sesuatu yang tidak baik kepada ekonomi tetapi harus disedari subsidi juga berperanan besar dalam merangsang ekonomi dan keupayaan membeli. Selain sebab ini, sebenarnya, kita tidak boleh menganggap subsidi sebagai suatu yang jengkel atau negatif dan tidak sepatutnya ada.

Cuma dalam keadaan tahap pendapatan rakyat Malaysia sekarang ini, dengan harga tanpa subsidi, apakah kita mampu hidup dengan selesa, bergerak dengan mudah memandu kereta yang minyaknya mendapat subsidi kerajaan. Jangan lupa negara yang harga minyaknya tinggi penduduknya diselamatkan oleh situasi seperti pembelian kereta yang tidak dibeban dengan bayaran cukai yang tinggi seperti Malaysia, selain tahap pendapatan mereka yang tinggi menjadikan harga kereta relatif rendah, sedang di Malaysia dengan tahap pendapatan sekarang bagi kebanyakan rakyat Malaysia, harga kereta dianggap tinggi.

Ini sekadar contoh mudah yang boleh disangkal dengan pelbagai teori dan andaian tetapi satu pertanyaan mudah, negara manakah tidak ada subsidi kerajaan untuk barang, komoditi dan perkhidmatan?

Namun dalam keadaan dunia sekarang dan keperluan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk menjana pembangunan dan kemajuan, wang untuk perbelanjaan merangsangkan ekonomi amat diperlukan tetapi menidakkan bantuan kerajaan atau subsidi tidak boleh diketepikan. Perkara yang penting adalah keperluan menentukan keutamaan perbelanjaan dan subsidi kepada kumpulan sasar yang layak. Hakikatnya, kita masih memerlukan subsidi dan kecekapan menguruskan kewangan agar tidak berlaku ketirisan perlu dielak atau dipastikan tidak berlaku.

No comments:

Post a Comment