Tuesday, April 5, 2011

Habit Penggunaan Elektrik


Ada jiran di kampung saya mempunyai cara mudah untuk menjimatkan bil elektriknya. Amat mudah, iaitu dengan tidak memiliki barang elektrik, kecuali lampu. Itu pun tidak digunakan sangat sebab keluarga ini jadi macam ayam - kalau gelap malam, mereka semua masuk tidur dan bil elektrik bulanan mereka hanya beberapa ringgit, dan tidak melebihi RM5 atau RM6. Itu cerita lebih 20 tahun dulu bagaimana jiran ini menjimatkan wang.

Hari ini, dalam kehidupan serba moden dan anda tidak mungkin akan masuk tidur serentak dengan ayam - masuk tidur apabila gelap malam berlabuh - pastinya bil elektrik anda menjadi satu persoalan besar dalam pengurusan kewangan setiap bulan. Jika anda hanya menggunakan lampu untuk menerangkan rumah dan menggunakan elektrik untuk menonton televisyen dan mendengar radio, juga untuk peti sejuk, anda mungkin hanya berbelanja RM60 hingga RM80, atau lagi kurang.

Tetapi jika anda mempunyai unit penyaman udara, dan hampir setiap malam menggunakannya untuk anda dan sekeluarga tidur selesa, maka pastinya bil anda mencecah angka ratusan ringgit, dan mungkin mencecah ribuan ringgit.

Persoalannya, mampukah anda melakukan langkah penjimatan bagi memastikan bil elektrik anda pada tahap terendah dan tidak menyebabkan dompet anda "terkopak" - jika anda berasa ia amat tinggi dan apakah yang anda mahu lakukan. Mungkinkah anda mengambil langkah dengan mengurangkan penggunaan lampu, tidak menjerang air menggunakan cerek elektrik, tidak menonton televisyen dan mengurangkan penggunaan penyawan udara.

Sekali lagi, berupayakah anda melakukannya dengan menyeimbangkan dengan keperluan dan mengelakkan pembaziran atau penggunaan yang tidak perlu.

Bagi sesetengah pihak, mereka mungkin memilih atau menukar barang-barang elektrik yang menjimatkan penggunaan elektrik sebagai langkah penjimatan. Selain itu, sejauhmanakah penjimatan atau pengurusan penggunaan elektrik yang cekap memberi impak kepada kewangan keluarga, syarikat pembekal dan juga kerajaan. Hakikatnya, anda sebagai pengguna memainkan peranan besar dalam isu bil elektrik ini, jadi bagaimana anda menggunakannya, maka itulah harga yang dibayar.

Ikuti perbincangan berkitar aspek ini dalam U-Wartawan (Astro Awani, Saluran 501) yang membincangkan topik Bil Elektrik dan Amalan Kecekapan Tenaga pada hari Jumaat, 8 April 2011 pada pukul 4 ptg dan ulangan pada hari Sabtu pukul 6 pagi dan 1.30 tengah hari.

Thursday, March 24, 2011

Transformasi Malaysia


Topik 25 Mac akan membicarakan Transformasi Malaysia era Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA). Selepas setahun dilancarkan, bagaimana anda melihat usaha dan kesungguhan kerajaan melaksanakannya dan apakah yang rakyat mahukan untuk melihat suatu kerajaan yang memperkasakan apa yang dipanggil Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Apakah yang kita capai dalam tempoh setahun ia dilaksanakan, sementelahan ada yang mendakwa tempoh tersebut amat pendek untuk membuat penilaian, tetapi jika tidak bermula daripada sekarang, maka kita tidak akan melihat hasilnya.

Tuesday, March 1, 2011

Transformasi Pengangkutan Awam Darat



Kemelut pengangkutan awam darat di sekitar Lembah Klang, khususnya di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Cheras, Gombak, Ampang, Batu Caves antara lainnya amat menguji keupayaan pihak berkuasa dalam mengurus, mentadbir, menyelia dan merungkai permasalahan ini secara tuntas.

Tidak ada penyelesaian dalam erti kata sebenar anda tidak ada satu penyelesaian menyeluruh dalam isu ini, yakni, ia merupakan suatu pakej lengkap yang saling menyokong untuk memastikan setiap langkah yang diambil akan memberi pulangan setimpal dengan pelaburan wang yang dibayar.

Membaiki sistem pengangkutan aliran ringat seperti LRT Putra dan Star misalnya, perlu diseiringkan dengan pembaikan dalam sistem pengangkutan komuter, bas dan teksi bagi menjadikan seluruh rangkaian pengangkutan awam mencapai kecekapan yang tinggi.

Pembangunan dan pemodenan itu tidak semestinya dengan membina landasan aliran ringan deras, tetapi, bagaimana suatu rangkaian atau jalinan pengangkutan awam ini dibangunkan bersepadu dan saling melengkapi dengan keupayaan dan kecekapan optimum.

Kita boleh merujuk negara seperti Hong Kong, Singapura mahupun Jepun atau Beijing, tetapi pada akhirnya, kita juga perlu membangunkannya mengikut keperluan demografi dan mobiliti penduduk di sekitar Lembah Klang.

Selain melihat Lembah Klang, kita juga perlu melihat kepada skala yang lebih besar dalam konteks pembangunan sistem pengangkutan awam darat negara, kerana, pada hakikatnya, pengangkutan awam darat di luar Lembah Klang seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru berdepan dengan masalah yang mendesak berikutan proses urbanisasi. Lantas, apakah kita mempunyai kupayaan dan kesungguhan untuk membangunkannya, demi memastikan penduduk di tempat terbabit mendapat kemudahan pengangkutan awam darat yang cekap.

Bagaimana pula dengan bandar-bandar lain, pinggiur-pinggir bandar dan luar bandar yang sering menjadi rungutan para pengguna. Antara yang lazim ditemui, mengapa dan kenapa perkhidmatan seperti bas dan teksi amat lemah, yakni masa menunggu yang terlalu lama, atau keadaan teksi yang amat daif. Juga, selesa dan sesuaikah pengangkutan awam ini untuk membawa penumpang daripada satu tempat ke destinasi.

Apabila melihat kepada keperluan dan tuntutan skala pembangunan yang besar itu, sekali lagi, kita wajar memikirkan bahawa penyelesaian dan pembangunan tuntas perlu dilakukan secara menyeluruh berdasarkan keperluan demografi negara.