Wednesday, April 27, 2011

Budaya membaca Rakyat Malaysia



Ikuti perbincangan topik ini pada 29 April @ 10 mlm di Astro Awani, Saluran 501 yang akan menilai budaya membaca rakyat Malaysia hari ini. Apakah rakyat Malaysia sekadar membaca di sekolah dan institusi pengajian tinggi dan tabiat itu ditinggalkan terus selepas memasuki alam pekerjaan. Bagaimana pula peranan ibu bapa dalam perkara ini, yakni mereka menjadi contoh kepada anak-anak dalam memupuk budaya membaca. Juga sangguhkah ibu bapa berbelanja sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak mereka.



Bagi para penerbit dan penulis, sejauhmanakah hasil karya dan penerbitan mereka mampu menarik khalayak dan juga, sesuaikah ia dibaca oleh rakyat Malaysia, atau masih lagi rakyat disogokkan dengam pandangan, susahnya mendapat bahan bacaan yang bermutu.



Selamat membaca kepada rakyat Malaysia!

Tuesday, April 19, 2011

Subsidi Tenaga Untuk Pengguna






Tenaga elektrik yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini dikatakan mendapat subsidi daripada kerajaan, tindakan yang dilakukan untuk mengurangkan beban bil yang ditanggung. Namun, langkah kerajaan itu dilihat menjadi bebanan apabila harga bahan bakar seperti petrol dan gas meningkat seperti yang berlaku sekarang.



Dalam setahun kerajaan dilaporkan membelanjakan RM19 bilion sebagai subsidi kepada pembekal tenaga bebas (IPP) dan ia merupakan suatu jumlah yang besar.



Setakat ini, tidak ada desas-desus kerajaan akan mengurangkan subsidi tenaga itu tetapi, jika kerajaan bertindak mengurangkan tanggungan subsidi itu, pastinya ia akan diserapkan dalam bil pengguna dan sebarang pengurangan subsidi yang besar dan kenaikan harga bahan bakar yang tinggi sudah pastinya menjerat pengguna.



Dalam perkara ini, tenaga dan bil bulanan yang dibayar pengguna bukanlah barang atau perkhidmatan mewah, tetapi merupakan keperluan dalam kehidupan hari ini, kerana sudah pastinya kita mahukan lampu yang menyala untuk menerangi kegelapan, atau kipas yang berputar ligat atau penghawa diingin untuk menghilangkan kepanasan.



Kita kembali kepada pengurangan subsidi tenaga, persoalannya, apakah impaknya kepada pengguna? Ini merupakan persoalan sensitif kepada kerajaan dan juga pengguna. Bagi kebanyakan pengguna hari ini, bil elektrik yang ditanggung sudah dianggap tinggin - jika tidak terlalu membebankan, tetapi pengurangan subsidi dan kenaikan bil dalam angka 10 peratus hingga 50 peratus sudah pasti memberikan impak kepada pengguna, terutamanya kesan kewangan. Dan bagi keluarga pertengahan dan rendah, kesan kewangannya pasti dirasakan berat, dan kita tidak boleh meminta mereka mengurangkan penggunaan elektrik - seperti menonton tv atau sebagainya - sebagai langkah berjimat, jikapun kita boleh mendidik mereka menjadi pengguna tenaga yang bijak.



Untuk perbincangan kali ini, kami membawa topik Implikasi Pengurangan Subsidi Tenaga Kepada Pengguna, untuk melihat apakah kesan pengurangan subsidi kepada pengguna sama ada aspek kewangan, habit penggunaan tenaga, kehidupan sosial, ekonomi dan politik. Perspalannya, apakah pengurangan subsidi merupakan langkah terbaik kepada pengguna dan kerajaan? Mungkin kita perlu merenung jika kerajaan mahu mengurangkannya dan mengikhtiarkan langkah tertentu untuk mendepani dan juga melihat, bagaimana kerajaan mahu mendepani situasi menanggung subsidi dalam tempoh jangka panjang dalam keadaan bahan bakar yang melonjak.



Saksikan perbincangannya di Astro Awani (Saluran 501) pada pukul 10 malam, 22 April ini dan ulangannya pada pukul 6 pagi dan 11.30 pagi 23 April.

Tuesday, April 5, 2011

Habit Penggunaan Elektrik


Ada jiran di kampung saya mempunyai cara mudah untuk menjimatkan bil elektriknya. Amat mudah, iaitu dengan tidak memiliki barang elektrik, kecuali lampu. Itu pun tidak digunakan sangat sebab keluarga ini jadi macam ayam - kalau gelap malam, mereka semua masuk tidur dan bil elektrik bulanan mereka hanya beberapa ringgit, dan tidak melebihi RM5 atau RM6. Itu cerita lebih 20 tahun dulu bagaimana jiran ini menjimatkan wang.

Hari ini, dalam kehidupan serba moden dan anda tidak mungkin akan masuk tidur serentak dengan ayam - masuk tidur apabila gelap malam berlabuh - pastinya bil elektrik anda menjadi satu persoalan besar dalam pengurusan kewangan setiap bulan. Jika anda hanya menggunakan lampu untuk menerangkan rumah dan menggunakan elektrik untuk menonton televisyen dan mendengar radio, juga untuk peti sejuk, anda mungkin hanya berbelanja RM60 hingga RM80, atau lagi kurang.

Tetapi jika anda mempunyai unit penyaman udara, dan hampir setiap malam menggunakannya untuk anda dan sekeluarga tidur selesa, maka pastinya bil anda mencecah angka ratusan ringgit, dan mungkin mencecah ribuan ringgit.

Persoalannya, mampukah anda melakukan langkah penjimatan bagi memastikan bil elektrik anda pada tahap terendah dan tidak menyebabkan dompet anda "terkopak" - jika anda berasa ia amat tinggi dan apakah yang anda mahu lakukan. Mungkinkah anda mengambil langkah dengan mengurangkan penggunaan lampu, tidak menjerang air menggunakan cerek elektrik, tidak menonton televisyen dan mengurangkan penggunaan penyawan udara.

Sekali lagi, berupayakah anda melakukannya dengan menyeimbangkan dengan keperluan dan mengelakkan pembaziran atau penggunaan yang tidak perlu.

Bagi sesetengah pihak, mereka mungkin memilih atau menukar barang-barang elektrik yang menjimatkan penggunaan elektrik sebagai langkah penjimatan. Selain itu, sejauhmanakah penjimatan atau pengurusan penggunaan elektrik yang cekap memberi impak kepada kewangan keluarga, syarikat pembekal dan juga kerajaan. Hakikatnya, anda sebagai pengguna memainkan peranan besar dalam isu bil elektrik ini, jadi bagaimana anda menggunakannya, maka itulah harga yang dibayar.

Ikuti perbincangan berkitar aspek ini dalam U-Wartawan (Astro Awani, Saluran 501) yang membincangkan topik Bil Elektrik dan Amalan Kecekapan Tenaga pada hari Jumaat, 8 April 2011 pada pukul 4 ptg dan ulangan pada hari Sabtu pukul 6 pagi dan 1.30 tengah hari.