Tuesday, April 27, 2010

Pengupayaan Tenaga Kerja Muda


Selamat menyambut Hari Pekerja. Tatkala melalui tarikh 1 Mei ini, ada eloknya kita memikirkan perkara selain daripada soal berapa gaji yang dibayar, misalnya, kesediaan dan tahap tenaga kerja di negara in, terutamanya di kalangan generasi muda.

Antara penekanan dalam Model Ekonomi Baru (MEB) adalah menyediakan rakyat negara ini ke arah ekonomi prestasi tinggi, yang bermakna menuntut tahap tertentu dan baru dalam kecekapan pekerja di negara ini. Rasional penekanan kepada tenaga kerja muda adalah kerana golongan ini merupakan landskap sebenar kepada pembangunan ekonomi dan modal insan yang akan dilaksanakan demi mencapai status negara maju.

Persoalannya, apakah generasi muda negara ini, dengan persekitaran sosial, budaya, pendidikan dan politik sudah bersedia untuk menjadi kuasa tenaga kerja menggalas tanggungjawab sebagai pekerja prestasi tinggi dan membuka lembaran baru perekonomian negara.

Demi membangunkan barisan tenaga negara bagi memenuhi tuntutan tenaga kerja MEB, apakah langkah terbaik dan tuntas dan bersediakah rakyat negara kita mengambil alih semua sektor pekerjaan dalam semua sektor dan tidak bergantung harap kepada orang luar? Tidak dinafikan, rakyat negara ini sudah ada yang menempa nama dan kejayaan dalam bidang pekerjaan masing-masing sehingga menjawat jawatan penting, sama ada dalam mahupun luar negara, tetapi bagaimanakah kejayaan ini dapat dimanfaatkan dalam persekitaran yang lebih besar dan luas.

Persoalan yang perlu difikirkan, apakah kita mempunyai keupayaan untuk berubah dan boleh dibentuk menjadi pekerja yang berupaya bergerak dalam pasaran kerja yang memerlukan kemahiran tinggi dan khusus?

Pada masa sama, apakah institusi pendidikan dan latihan pekerjaan negara ini bersedia dan mampu melahirkan barisan tenaga kerja bagi memenuhi aspirasi melahirkan tenaga kerja tahap tinggi?

Bersama kami menonton U-wartawan membincangkan topik Pengupayaan Tenaga Anak Muda pada 3 Mei, pukul 5.31 petang.

Tuesday, April 20, 2010

Fenomena Buang Zuriat


Mungkinkah masalah dan persoalan ini merupakan suatu warisan sepanjang zaman? Mengapa tidak kerana masalah buang bayi sudah bertahun-tahun diperkatakan dan jika dikira secara matematik, bilangannya semakin meningkat sehingga dikatakan mencetuskan kegusaran.

Apakah ini merupakan satu penyakit zaman moden yang kini menunjukkan tanda kronik atau ini satu lagi persoalan takdir, atau kita mengatakan, masalah buang anak ini berlaku disebabkan pelaku lebih menurutkan kata hati dan gelora nafsu, bukan akal dan jauh sekali nilai moral dan hukum agama.

Perkara yang turut mencetuskan lagi rasa gundah adalah pembuangan bayi yang dulu jarang sekali membabitkan kematian, kini memperlihatkan kecenderungan begitu banyak anak-anak yang baru lahir ini tidak bernyawa. Lalu apakah hukuman setimpal untuk golongan ini - mungkinkah penjara seumur hidup atau hukum gantung sampai mati kerana melakukan pembunuhan dan menyebabkan pematian? Lantas bagaimana pula pasangannya yang mungkin sudah lama menghilangkan diri untuk tidak mahu bertanggungjawab.

Juga, apakah kita mengatakan si pelaku itu kejam apabila dia menjadi mangsa serangan seksual, misalnya dirogol hingga mengandung, dan perogolnya pula masih bebas atau sekadar meringkuk dalam penjara, sedang mangsa rogol ini berdepan dengan aib.

Ini merupakan dua fenomena jelas yang dipisahkan oleh garis noral berbeza tetapi ia menjadi menjadi garis bawah besar kepada masalah pembuangan anak. Apakah masyarakat boleh lakukan atau sekadar menjatuh hukum dengan mengatakan, betapa rosaknya akhlak sebahagian anggota masyarakat ini.

Atau, apakah kita mahu berkata begini, berani buat berani tanggung.

Dalam konteks masyarakat pelbagai adat, budaya dan yang paling pentingnya agama, krisis pembuangan anak ini menjadi lembaran yang berlapis-lapis dengan standard sendiri bahawa dalam suatu kelompok, melahirkan anak luar nikah bukan merupakan suatu kesalahan moral dan agama yang begitu berat dan status anak ini lahir tidak pernah dipersoalkan.

Bagaimana pula dalam konteks masyarakat Islam, bagaimana kita mahu melihat situasi ini tidak dalam pengertian dan pemahaman dosa semata-mata, bahawa yang salah tetap salah dan menerima hukumnya, sama ada hari ini atau kemudian, sedangkan, apakah anak yang baru lahir itu perlu menjadi korban.

Tentunya, melihat kepada perkembangan hari ini dan menilai sejarah pembuangan anak ini, sesuatu perlu dilakukan, tidak cukup sekadar pendidikan agama dan keteguhan iman kerana sesetengah kes memperlihatkan teori dominonya dengan kesan hujungnya adalah membuang anak.

Lantas, adakah anda mempunyai kepercayaan atau tafsiran lain terhadap persoalan ini?

Tuesday, April 13, 2010

MEB: Perspektif Anak Muda


Model Ekonomi Baru yang diumumkan baru-baru ini merupakan suatu anjakan dalam pemikiran pembangunan negara selepas Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan selama empat dekad. Ia dikatakan suatu landasan baru dalam mengerakkan pembangunan dengan cara dan kerangka berbeza sesuai dengan keperluan semasa.

Ia bukan persoalan mewujudkan suatu suasana ekonomi domestik tetapi turut menyediakan negara untuk terus berdaya saing pada tahap kecekapan tertinggi sesuai dengan pengisian untuk menjadi sebuah negara maju.

Beberapa isu yang dibangkitkan seperti perangkap ekonomi pertengahan memperlihatkan negara dalam situasi yang sukar apabila berada di dalam keadaan yang sukar apabila bersaing dengan negara maju dan ekonomi nilai tinggi, sedang pada masa sama tidak dapat bersaing secara cekap dengan negara yang baru membangun.

Persoalan yang dibangkitkan ini merupakan sebahagian daripada permasalahan dan penyelesaian yang perlu ditangani dan dicapai, dan sebagai anak muda, adakah anda mempunyai pemikiran yang lebih tajam dan bernas dalam menjawab MEB. Bagaimana anda mahu menterjemah suatu idea dan pemikiran di atas kertas menjadi suatu yang mampu laksana.

Selama ini anak muda, khususnya generasi muda masa kini dikatakan memiliki pendedahan dan keberanian menyuakan pandangan, lantas bagaimana MEB dilihat melalui pemahaman anak muda kerana model ini juga merupakan masa depan mereka.

Jika anak muda hari ini masa depan negara, maka model ini merupakan satu asas untuk mereka mengukuhkan asas ekonomi dan memperteguhkan diri untuk bersaing dalam negara dan juga antarabangsa. Atau jika benar, anak muda mempunyai pemikiran analitikal dan kritis, maka mereka perlu berupaya mencambah pemikiran dalam memberi tafsiran kepada MEB dan mengambil model ini untuk manfaat diri dan menggilap upaya diri.

Zaman untuk kita disuap dan disogok dengan pelbagai bantuan dan subsidi perlu dikikis dan dibuang kerana cabaran masa akan datang memerlukan manusia yang berdaya saing atas nama merit dan kompetetif.

Atau anda, sebagai anak muda masih mencari sesuatu dalam MEB ini yang perlu ada dan wajib ada.