Thursday, August 6, 2009

Mengurus Kewangan Pesara


Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan dana pencen untuk pekerja swasta dan bekerja sendiri, langkah yang diharap dapat memberi jaminan kewangan kepada golongan ini ketika melalui usia tua.
Langkah ini diambil selepas kajian mendapati 70 peratus daripada pesara ini menghabiskan semua wang dalam KWSP dalam tempoh kurang tiga tahun, meletakkan para pesara terbabit berdepan krisis kewangan yang teruk dan hidup dalam kemiskinan.
Hakikatnya, 90 peratus daripada pencarum memiliki simpanan semasa usia persaraan kurang RM100,000, juga meletakkan golongan ini dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa terus bekerja pada usia tua.
Pengenalan dana pencen ini dijangka membaiki kedudukan sosial dan ekonomi pesara swasta untuk menempuh usia persaraan tanpa diganggu oleh masalah kewangan. Namun persoalannya, apakah modul terbaik kepada pelaksanaan dana ini.
Sebelum ini pernah diperkenalkan Skim Anuiti yang menggunakan dana KWSP pekerja untuk menjadi dana yang akan membolehkan pesertanya memperoleh bayaran pencen bulanan pada kadar tertentu ketika mereka bersara, tetapi dibantah kemudiannya.
Selain modul pelaksanaan, berapa kadar bayaran bulanan yang bakal diterima, apakah mungkin ia separuh daripada gaji akhir semasa bersara dan apakah pencen dibayar sepanjang hayat pesara dan bagaimana pula faedah untuk waris seperti dalam pencen kerajaan.
Lontarkan pandangan anda sebagai wartawan rakyat U-Wartawan.

Monday, July 27, 2009

Menilai Semula UPSR


Ada pihak mencadangkan, kenapa tidak dihapuskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), atau digubal semula untuk mengikut keperluan pendidikan dan rentak pembangunan negara. Bagaimanapun kerajaan berpandangan ia harus dikekalkan dengan pengubahsuasaian.
Keputusan UPSR yang menjadi tanda aras kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh pula mungkin tidak dipakai, sebaliknya dicadangkan supaya mengambil mengambil kira pencapaian pelajar sepanjang enam tahun di sekolah rendah.
Ada pihak pula berpandangan, sejak sekian lama sistem peperiksaan di sekolah kita terlalu memberi penekanan kepada aspek keputusan, bermakna markah maksimum menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan pelajar.
Melihat kepada keperluan pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar, masihkan UPSR ini relevan dengan keperluan pendidikan dan perkembangan mental dan jatidiri pelajar, atau sesuatu dilakukan secara menyeluruh terhadap sistem pendidikan, tidak sekadar terhadap ujian ini.
Hakikatnya, pelajar sekarang terlalu dibebani dengan tekanan supaya mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan sehingga meletakkan mereka dalam tekanan dan seluruh kehidupan harian mereka semata-mata untuk buku, guru dan tuisyen.
Persoalan yang perlu diambil perhatian adalah apakah UPSR merupakan mekanisme yang tepat untuk menilai pelajar dan membekalkan barisan pelapis yang memasuki sekolah menengah, peringkat universiti dan pekerjaan.
Persoalannya, apakah ujian ini perlu dihapuskan dan tidak perlu ada sebarang ujian yang berorientasikan keputusan, sebaliknya negara ada satu sistem persekolahan dan penilaian yang melahirkan pelajar yang cerdas dan kreatif pemikiran mereka.
Lontarkan pandangan dan cadangan anda untuk U-Wartawan pada 30 Julai ini. Anda semua wartawan rakyat.

Sunday, July 19, 2009

Kebajikan Warga Terpinggir


Program U-Wartawan pada 24 Julai ini akan memperkatakan topik Kebajikan Warga Terpinggir, menjurus kepada golongan kurang upaya yang dikategorikan mengalami kecacatan mental. Kisah layanan yang diterima oleh golongan ini di Rumah Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu menyingkap suatu kisah kehidupan yang tidak diketahui. Biarpun pihak terbabit ada alasan sendiri mengenai layanan dan keadaan yang diterima, pendedahan tersebut sewajarnya membuka mata dan pemikiran kita bahawa sesuatu perlu dilakukan, bukan saja persoalan layanan di rumah kebajikan, tetapi kesedaran masyarakat umum.
Sebagai manusia golongan ini juga mempunyai hak dan salah satu daripadanya ialah mendapat pendidikan dan asuhan terbaik. Pendidikan dalam hal ini bertujuan menjadikan mereka boleh mengurus diri serba sedikit atau meningkatkan daya mekanik tubuh badan dan daya berfikir biarpun pada kadar yang terhad.
Pada masa sama, apakah yang masyarakat dan pihak berwajib boleh lakukan demi membela nasib golongan ini. Cukupkah sekadar bernaung di rumah-rumah kebajikan atau usaha perlu dipertingkat untuk menambah baik kehidupan golongan ini dan tidak dianggap sebagai beban kepada masyarakat dan negara.
Malah, perkembangan hidup zaman moden yang penuh tekanan dan cabaran juga mendedahkan anggota masyarakat, khususnya di bandar berdepan dengan penyakit mental. Apakah kita sedar dan bersedia menghadapinya?
Lontarkan pandangan ini kepada U-Wartawan. Anda juga wartawan.